KUSKOP lancar misi perkasa jenama francais Malaysia ke China

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia (MFA) telah melancarkan Misi Perdagangan Antarabangsa ke China yang berlangsung dari 8 hingga 10 Ogos 2025. Misi ini bersempena penyertaan Malaysia dalam China Franchise Expo 2025 di Shanghai New International Exhibition Center (SNIEC).

Inisiatif ini bertujuan membuka akses baharu kepada jenama francais tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa khususnya China yang merupakan antara ekonomi terbesar dan paling pesat berkembang di dunia.

Delegasi Malaysia diketuai oleh Timbalan Menteri KUSKOP, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan bersama wakil daripada Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), MFA, serta sembilan jenama francais terkemuka Malaysia iaitu Marrybrown; HOME Maths Therapy; Q-Dees; Smart Reader Kids; Midyson; US Pizza; Kenny Rogers Roasters; D’Sara Fried Chicken dan Happy Potato.

Penyertaan ini merupakan sebahagian daripada Program Pengukuhan Francais bagi Meningkatkan Eksport atau Enhancing Franchise Development Programme (EFDP), yang dirangka untuk memperluas kehadiran francais Malaysia di peringkat global.

Antara kejayaan terdahulu menerusi EFDP termasuklah operasi Marrybrown di Australia, Global Art di Maghribi, Laundrybar di Thailand dan Little Caliphs di United Kingdom.

Menurut Ramanan, industri francais Malaysia memiliki potensi besar untuk berkembang di arena antarabangsa.

“Misi ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan jenama tempatan di luar negara, malah mewujudkan peluang kerjasama strategik bersama rakan niaga antarabangsa. KUSKOP komited untuk menjadikan jenama francais Malaysia sebagai pilihan utama di pasaran global.

“Misi perdagangan ke China ini merupakan misi sulung dalam kalendar EFDP bagi tahun 2025. Ia akan disusuli dengan misi serantau ke Jepun, Kazakhstan, dan Indonesia yang dijadualkan berlangsung sehingga Oktober 2025,” katanya dalam satu kenyataan.

Sepanjang lawatan ke China, delegasi Malaysia turut mengadakan sesi perbincangan meja bulat bersama China Chain Store & Franchise Association (CCFA) bagi meneroka peluang kerjasama dua hala serta memahami dengan lebih mendalam kehendak pasaran francais tempatan.

Tambah Ramanan, penyertaan aktif dan berstrategik syarikat-syarikat francais Malaysia dalam misi ini jelas mencerminkan tahap kesiapsiagaan dan keyakinan tinggi pemain industri untuk bersaing di pentas antarabangsa.

“Usaha ini juga selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab francais utama di rantau ASEAN,” ujarnya.

-NIAGATIMES

Ramanan-hadir-Pavilion-KUSKOP-di-China.jpeg