KUSKOP mulakan libat urus 2026, persatuan perniagaan nyata sokongan

Tujuh persatuan perniagaan utama negara menyatakan sokongan terhadap langkah kerajaan memperuntukkan suntikan sokongan berjumlah RM80 bilion bagi memperkasa sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini.

Sokongan itu dizahirkan dalam sesi libat urus pertama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi tahun 2026, yang dipengerusikan oleh Menterinya, Steven Sim Chee Keong, semalam.

Sesi pertemuan tersebut menghimpunkan kepimpinan tujuh persatuan perniagaan iaitu Federation of Malaysian Manufacturers (FMM), Federation of Malaysia Business Association (FMBA), Persatuan Pengurusan Kompleks (PPK), Malaysia Retail Chain Association (MRCA), Malaysia Interior Industry Partner (MIIP), SME Association of Malaysia serta Malaysian Book Sellers Association.

Menurut Steven Sim, pandangan dan maklum balas yang disampaikan oleh wakil industri amat penting bagi memastikan dasar serta inisiatif kerajaan benar-benar menepati keperluan sebenar pemain PMKS di lapangan.

“Kerajaan memandang serius setiap kebimbangan yang dibangkitkan, khususnya berkaitan isu akses pembiayaan, kekangan birokrasi serta keperluan membentuk ekosistem ekonomi yang lebih mesra perniagaan,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat itu.

Beliau menjelaskan bahawa perkara-perkara yang dibangkitkan selari dengan pendekatan Strategi ABCD yang diperkenalkan KUSKOP, merangkumi Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran, sebagai teras utama agenda pemerkasaan PMKS.

Steven Sim turut menegaskan bahawa penglibatan berterusan sektor swasta merupakan elemen kritikal dalam usaha kerajaan menambah baik dasar sedia ada serta merangka intervensi yang lebih bersasar dan berimpak tinggi kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam pada itu, wakil persatuan perniagaan yang hadir menyambut baik komitmen kerajaan terhadap pembangunan PMKS dan menyifatkan peruntukan RM80 bilion itu sebagai langkah signifikan dalam memastikan daya saing perniagaan tempatan terus diperkukuh, khususnya dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.

-NIAGATIMES

libat-urus-KUSKOP.jpeg