KUSKOP perkukuh usaha ringankan kos pembiayaan PMKS

Usaha berterusan perlu diperkukuh bagi mengurangkan beban kos pembiayaan yang ditanggung perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), khususnya ketika sektor itu berdepan tekanan operasi susulan ketidaktentuan ekonomi global.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata akses kepada pembiayaan yang lebih mudah dan mampu milik amat penting bagi memastikan kelangsungan perniagaan, terutama perusahaan mikro dan kecil yang masih berdepan kekangan untuk menembusi sistem kewangan arus perdana.

Beliau berkata situasi geopolitik dan geoekonomi semasa, termasuk konflik di Timur Tengah yang memberi kesan kepada rantaian bekalan global, telah meningkatkan tekanan terhadap kos operasi PMKS.

“Sebahagian besar perusahaan, terutama berskala kecil, masih berdepan cabaran mendapatkan pembiayaan berikutan rekod kredit yang terhad selain kadar kos pembiayaan yang tinggi.

“Justeru, peranan institusi seperti Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad amat penting dalam merapatkan jurang pembiayaan menerusi skim jaminan kredit, khidmat nasihat kewangan dan pelbagai inisiatif pemudah cara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat bersama CGC yang mengadakan kunjungan hormat ke Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bagi membincangkan langkah memperkukuh akses pembiayaan dan modal kerja untuk PMKS.

Dalam sesi tersebut, CGC membentangkan beberapa program yang sedang dilaksanakan, termasuk kemudahan pembiayaan, skim jaminan kredit, latihan pemasaran digital, pembangunan usahawan belia serta program jaringan PMKS di seluruh negara.

Steven Sim turut menggesa agensi di bawah KUSKOP, khususnya SME Corp. Malaysia, agar memperluaskan kerjasama strategik dengan CGC serta memperhebat hebahan berkaitan maklumat pembiayaan melalui platform seperti MyKNP dan imSME.

Menurut beliau, kementerian komited untuk terus bekerjasama rapat dengan institusi kewangan dan rakan ekosistem bagi memperkukuh daya tahan PMKS selaras dengan aspirasi ‘Hebatkan Perniagaan Malaysia’.

-NIAGATIMES

KUSKOP.jpeg