KUSKOP: Salah guna visa sosial, tindakan tegas lindungi peniaga tempatan

Kerajaan mengambil serius isu penyalahgunaan visa lawatan sosial untuk tujuan bekerja dan berniaga secara tidak sah, dengan tindakan penguatkuasaan lebih tegas akan dilaksanakan bagi melindungi kepentingan peniaga tempatan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata perkara itu telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri susulan aduan yang diterima daripada peniaga-peniaga tempatan.

Menurut beliau, kerajaan telah mengarahkan agensi-agensi berkaitan supaya meningkatkan penguatkuasaan terhadap aktiviti berkenaan.

“Kerajaan telah mengarahkan agensi-agensi berkaitan untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas, termasuk memperkukuh pemantauan terhadap aktiviti bekerja dan berniaga tanpa kebenaran yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan langkah tersebut penting bagi memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta peniaga kecil tempatan terus dilindungi daripada persaingan tidak adil.

“Saya akan bekerjasama rapat dengan Menteri Dalam Negeri serta agensi berkaitan bagi memastikan tindakan susulan dilaksanakan dengan segera. Langkah ini penting bagi melindungi PMKS dan peniaga kecil tempatan serta memastikan ekosistem keusahawanan negara kekal teratur dan berdaya saing,” jelasnya.

Steven Sim turut menekankan bahawa walaupun Malaysia mengalu-alukan kehadiran pelancong dan pelabur asing, pematuhan kepada undang-undang negara tetap menjadi keutamaan.

“Malaysia mengalu-alukan kehadiran pelancong dan pelabur ke negara ini, namun undang-undang dan peraturan negara mesti dipatuhi oleh semua pihak tanpa pengecualian,” katanya.

Beliau berharap langkah penguatkuasaan yang lebih tegas ini dapat menjamin persekitaran perniagaan yang adil serta mampan untuk usahawan tempatan.

-NIAGATIMES

Steven-Sim.jpeg