KUSKOP salur RM7.96 bilion kepada lebih 280,000 usahawan dan koperasi setakat September

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui tujuh agensi pembiayaannya telah menyalurkan sebanyak RM7.96 bilion kepada 282,849 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi di seluruh negara setakat September tahun ini.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata tujuh agensi berkenaan ialah SME Bank, Bank Rakyat, TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Perbadanan Nasional Bhd (PERNAS), SME Corp dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

“Daripada jumlah keseluruhan pembiayaan itu, RM770.1 juta disalurkan kepada 40,797 usahawan dan koperasi di Sabah, manakala SME Bank sahaja meluluskan RM314.3 juta kepada 52 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SME Bank di Tuaran, Sabah, baru-baru ini.

Beliau berkata, KUSKOP akan terus memperkukuh penyaluran dana dan akses pembiayaan bagi memastikan lebih ramai usahawan dan koperasi mendapat manfaat melalui agensi di bawah kementerian itu.

Menurutnya, dalam Belanjawan 2026, KUSKOP akan memberi tumpuan kepada penskalaan keupayaan PMKS, dengan agensi pembiayaan memainkan peranan penting untuk merealisasikan agenda pembangunan keusahawanan negara.

Dalam pada itu, Ewon berkata SME Bank memperuntukkan RM20,000 di bawah program CSR berkenaan untuk membantu 100 pelajar daripada keluarga B40 di lima sekolah di daerah Tuaran mendapatkan cermin mata baharu.

“Saya menghargai inisiatif SME Bank yang sentiasa tampil membantu masyarakat melalui pelaksanaan program CSR ini. Diharapkan lebih banyak syarikat korporat dan agensi kerajaan mencontohi usaha sebegini untuk mendekati masyarakat yang memerlukan,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, Datuk Saidatu Akhma Hassan; Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Madius Tangau; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Pengurusan Sekolah) Tuaran, Jamdin Jeman; Pemangku Ketua Pegawai Strategi Korporat SME Bank, Hamdan Mohd Habibollah; serta Presiden Lions Club Tuaran Kapitan Frankie Goh.

-NIAGATIMES

KUSKOP-di-Tuaran-Sabah.jpg