KUSKOP sasar jualan RM80 juta di Foodex Japan 2026

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan potensi nilai jualan sehingga RM80 juta menerusi penyertaan delegasi Malaysia dalam pameran perdagangan makanan dan minuman antarabangsa, Foodex Japan 2026 yang kini berlangsung di Tokyo Big Sight hingga 13 Mac.

Seramai 31 syarikat serta tiga koperasi tempatan dibawa menyertai misi perdagangan tersebut bagi mempromosikan produk makanan dan minuman Malaysia di salah satu platform perdagangan terbesar di Asia.

Foodex Japan 2026 menghimpunkan lebih 3,000 pempamer dari kira-kira 80 negara, sekali gus menjadikannya antara acara perdagangan paling berprestij dalam industri makanan dan minuman di rantau ini.

Delegasi KUSKOP bagi misi berkenaan diketuai Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud bersama beberapa agensi di bawah kementerian termasuk SME Corp. Malaysia, Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Misi perdagangan tersebut turut mendapat sokongan beberapa agensi strategik lain iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, Jepun merupakan antara pasaran premium global yang amat menitikberatkan kualiti produk serta pematuhan standard yang tinggi.

Menurut beliau, kejayaan produk Malaysia menembusi pasaran Jepun bukan sahaja membuka peluang eksport baharu, malah mampu meningkatkan reputasi serta daya saing produk tempatan di peringkat antarabangsa.

“Penyertaan dalam pameran ini juga selaras dengan strategi ABCD KUSKOP yang memberi tumpuan kepada Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran dalam usaha memperkasa usahawan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain penyertaan pameran, delegasi Malaysia turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung ASEAN-Japan Centre, Dr Hirabayashi Kunihiko bagi meneroka peluang kerjasama strategik antara kedua-dua negara.

Beberapa sesi libat urus bersama pemain industri global turut dirancang sepanjang program tersebut bagi memperluaskan rangkaian perniagaan serta membuka peluang kerjasama baharu kepada usahawan Malaysia.

Misi perdagangan ini juga merupakan sebahagian daripada usaha strategik kerajaan dalam menyokong agenda Malaysia MADANI, khususnya dalam memperkukuh hubungan perdagangan dua hala serta meningkatkan daya saing perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara di peringkat antarabangsa.

-NIAGATIMES

Foodex-Japan-2026.jpeg