KUSKOP sedia ruang rehat, khidmat usahawan sempena Thaipusam 2026 di Pulau Pinang

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan menyediakan pelbagai kemudahan kebajikan dan perkhidmatan sokongan kepada pengunjung sempena sambutan Thaipusam 2026 yang dijadual berlangsung pada 1 Februari ini di George Town, Pulau Pinang.

Inisiatif itu dilaksanakan menerusi Program KUSKOP MADANI yang antara lain menyediakan ruang rehat percuma, saringan kesihatan serta khidmat keusahawanan kepada masyarakat setempat dan penganut yang menghadiri perayaan berkenaan.

Menurut KUSKOP, sebuah reruai perkhidmatan akan dibuka sepanjang tempoh sambutan dengan penglibatan sembilan agensi di bawah kementerian itu, termasuk TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Bank Rakyat, SME Bank, SME Corp. Malaysia dan UDA Holdings.

Pelbagai perkhidmatan disediakan merangkumi maklumat pembiayaan perniagaan, latihan dan bimbingan keusahawanan, pendaftaran usahawan serta khidmat nasihat berkaitan koperasi.

Pengunjung turut boleh memanfaatkan kemudahan sokongan seperti ruang penyusuan bayi, pengagihan makanan percuma dan saringan kesihatan.

Bagi memastikan kelancaran pengurusan orang ramai, seramai 200 sukarelawan Wira KUSKOP akan digerakkan sepanjang sambutan itu. Sukarelawan berusia antara 17 hingga 30 tahun itu terdiri daripada belia pelbagai kaum di Pulau Pinang dan akan membantu golongan warga emas, kanak-kanak serta orang kurang upaya (OKU).

Selain itu, KUSKOP turut menyediakan ruang rehat khas di khemah utama Program KUSKOP MADANI yang mampu menampung sehingga 200 orang pada satu-satu masa, dengan anggaran seramai 1,500 pengunjung dapat menggunakan kemudahan tersebut sepanjang hari sambutan.

Ruang rehat berkenaan disasarkan kepada petugas barisan hadapan, ibu bersama anak kecil, warga emas, OKU serta penganut yang keletihan atau kurang sihat, lengkap dengan penyediaan minuman dan makanan percuma.

Dalam perkembangan berkaitan, KUSKOP memaklumkan Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) akan terus diperkasa menerusi peningkatan peruntukan dana daripada RM30 juta kepada RM50 juta bagi menyokong pertumbuhan keusahawanan masyarakat India.

Bagi tahun 2026, SPUMI telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM4.089 juta kepada 136 usahawan masyarakat India, selari dengan komitmen kementerian untuk memperluas akses modal melalui pelaksanaan strategi ABCD KUSKOP.

-NIAGATIMES

kredit-foto-KUSKOP.jpeg