KUSKOP terajui tonggak penskalaan PMKS dan pemerkasaan sektor ketiga bagi RMK13

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengalu-alukan pembentangan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) 2026-2030 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen, hari ini.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, RMK13 berwawasan melakar semula pembangunan negara yang inklusif, mampan dan bertanggungjawab mencakupi kerencaman ekonomi, mobiliti sosial, reformasi perkhidmatan awam, kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar ke arah merealisasikan Malaysia MADANI.

“KUSKOP komited meneraju tonggak penskalaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dengan memperkukuh model perniagaan PMKS dan menambah baik ekosistem PMKS serta pemerkasaan sektor ketiga dengan memperkukuh daya tahan pemain sektor ketiga, meningkatkan keterlihatan sektor ketiga dan melipatgandakan penyertaan syarikat dalam perniagaan inklusif.

“Keberhasilan tonggak-tonggak ini akan dipandu oleh Dasar Keusahawanan Nasional, Dasar Francais Negara, Dasar Koperasi Malaysia, Dasar Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Negara, Pelan Strategik PMKS 2030, Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial Malaysia 2030 yang akan ditambahbaik serta dasar dasar dan pelan-pelan strategik lain yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Ewon, keberhasilan tonggak-tonggak ini juga akan didukung oleh reformasi perkhidmatan awam termasuk pelaksanaan ILTIZAM, pemerkasaan GovTech, pemantapan tata kelola, reformasi pengurusan projek dan pengukuhan ekosistem ekonomi sosial.

“Ia sejajar dengan proses penggubalan akta koperasi baharu dan pengukuhan strategi pengantarabangsaan industri francais tempatan.

“Malah, KUSKOP komited untuk menerajui pembangunan gerakan keusahawanan, koperasi dan ekonomi sosial negara melalui pendekatan ‘whole of government’ melalui pelbagai platform seperti Majlis Pembangunan Usahawan dan PKS Kebangsaan, Majlis Pembangunan Keusahawanan Nasional serta pelbagai majlis perundingan melibatkan kerjasama pelbagai kementerian, kerajaan-kerajaan negeri dan pemegang taruh,” jelasnya.

Selaku Anggota Kabinet dari Sabah, Ewon turut mengalu-alukan komitmen berterusan Kerajaan MADANI ini dalam meningkatkan keseimbangan kemajuan wilayah antara Malaysia Barat (Semenanjung) dengan Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak) serta pembangunan khas sosio-ekonomi Anak Negeri Sabah dan Bumiputera Sarawak.

-NIAGATIMES

Ewon.jpg