KWSP sedia bantu PKS terjejas melalui program e-CAP

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan Program Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP) untuk memberi sokongan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia yang terkesan dengan pandemik global ketika ini.

Program tersebut memberi fleksibiliti kepada majikan yang berkelayakan untuk membuat permohonan penangguhan dan penstrukturan semula caruman syer majikan bagi pilihan bulan caruman sama ada April, Mei atau Jun 2020.

Bayaran untuk caruman tertangguh bagi bulan yang dipilih kemudiannya boleh dijelaskan dalam tempoh maksimum tiga bulan.

Ketua Pegawai KWSP,Tunku Alizakri Alias berkata, PKS perlu beroperasi dengan baik bagi mengelakkan impak negatif seperti gangguan dalam rantaian bekalan serta individu-individu yang mungkin akan kehilangan pekerjaan.

“Diharapkan kemudahan e-CAP akan dapat membantu PKS yang terkesan dapat menyalurkan kembali aliran tunai ke dalam perniagaan mereka untuk memastikan kelangsungan perniagaan dan pekerjaan selama yang boleh.

“Sebagai usaha tambahan, KWSP juga akan menawarkan khidmat nasihat kepada semua majikan tempatan melalui Khidmat Nasihat Majikan.

“Pegawai yang ditugaskan akan membincangkan dan menguruskan pelan yang sesuai berdasarkan keperluan anda bagi memenuhi tanggungjawab sebagai majikan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Majikan yang memenuhi kriteria kelayakan boleh boleh membuat permohonan melalui fungsi e-CAP di portal i-Akaun (Majikan) KWSP secara bulanan.

KWSP-Gambar-hiasan.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.