Syarikat perkhidmatan fotografi korporat, Prestige Media Studios Sdn Bhd amat dikenali dengan identitinya yang tersendiri. Sebenarnya, setiap huruf pada perkataan ‘Prestige’ memiliki tafsiran tertentu. Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suffian Hj. Othman, operasi Prestige Media Studios yang ditubuhkan sejak 2012 ini berpegang pada falsafah tiap-tiap huruf tersebut yang mencerminkan keunikan dimiliki syarikatnya.
“Falsafah inilah kekuatan syarikat kami. P merujuk kepada ‘patuh syariah’ dimana amalan kerja dan etika berpandukan konsep beragama atas landasan yang betul. Manakala, R pula ialah ‘responsif’ iaitu sikap amalan kakitangan terutamanya berkaitan dengan perkhidmatan pelanggan. E ‘eligance’ adalah gambaran penampilan kemas pasukan kerja serta S ‘sopan’ adalah sifat murni yang syarikat titik beratkan dalam amalan niaga,” jelasnya.
Suffian seterusnya merujuk T kepada ‘telus’ melibatkan etika keusahawanan yang dipraktikan bukan sahaja dengan pelanggan namun juga sesama kakitangan mereka dan I iaitu ‘integriti’ menjadi tunjang dalam setiap urusan bersama-sama pelanggan tanpa prejudis status.
“G ‘gemilang’ dan E ‘efisyen’ pula adalah gambaran gerak kerja berpasukan yang mantap dari awal sehingga serahan akhir tugasan dan semua ciri-ciri inilah kekuatan dalaman luaran bagi syarikat saya,” katanya.
Dalam tempoh hampir sedekad dalam industri, Prestige Media Studios sentiasa sedia menyumbang peranan kepada masyarakat dan antaranya ialah kerap menerima undangan dari institusi-institusi pengajian tinggi dalam slot-slot forum serta kursus untuk berkongsi tip keusahawanan.
“Kami juga menyediakan khidmat percuma kepada banyak inkubator usahawan fotografi di kalangan pelajar-pelajar politeknik dan universiti awam di seluruh Malaysia. Saya amat berbangga setelah ramai di kalangan ahli inkubator fotografi yang terdiri daripada mahasiswa berjaya mendapat pendapatan sampingan dengan kerjaya secara ‘freelance photographer’ sewaktu di kampus. Malah, ada di antara mereka menjadikan kerjaya sebagai jurugambar sebagai pilihan setelah tamat pengajian,” jelasnya lagi.
Tidak lokek untuk terus menabur budi kepada masyarakat dalam memperkasakan industri fotografi, Suffian mendedahkan bahawa perancangannya untuk melahirkan bakat-bakat jurufoto baharu kini dalam langkah untuk direalisasikan menerusi penubuhan Pusat Hentian ‘One Stop Photo Learning Centre’.
“Pusat hentian dengan keluasan tiga ekar ini sedang dalam pembangunan fasa terakhir di Pahang. Besar harapan saya supaya ia kelak memberi nilai tambah kepada ekonomi penduduk tempatan dan mampu menyumbang kepada perkembangan positif seni foto kreatif. Pada masa yang sama, secara tidak langsung ia juga berupaya melahirkan lebih ramai lagi usahawan niaga dalam bidang ini untuk keperluan fardu kifayah tuntutan kerja semasa fotografi negara,” ujarnya.
Bukan sekadar omong kosong, Suffian juga terus ligat merencana strategi demi kredibiliti Prestige Media Studios. Menurutnya, kepelbagaian dalam perkhidmatan perlu ada untuk kelestarian masa hadapan syarikat di samping perlu fokus terus kepada tunjang utama iaitu fotografi korporat sebagai satu kelebihan dari segi kepakaran dan pengalaman.
“Permintaan kepada keperluan menyediakan perkhidmatan fotografi korporat terutamanya dalam industri fotografi berskala besar seperti istiadat konvokesyen dan majlis-majlis anugerah adalah bonus bagi perniagaan ini untuk terus bertahan. Tidak dilupakan, kami juga perlu terus mengekalkan ciri-ciri khidmat terbaik bagi jaminan mengekalkan prestasi dan nama baik syarikat,” katanya penuh semangat.