Platform e-dagang Asia Tenggara, Lazada telah mengeluarkan Laporan Impak Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG Impact Report 2023): Memperkayakan Kehidupan, Tampil Lebih Kukuh bagi tahun kewangan 2023 (TK2023).
Laporan tahunan tersebut memaparkan maklumat tentang komitmen Lazada ke arah memanfaatkan e-dagang sebagai faktor pemangkin ke arah kebaikan berdasarkan empat tonggak rangka kerja ESG Lazada yang telah diumumkan pada tahun lepas, iaitu Memperkasakan Komuniti, Tenaga Kerja Sedia-Masa Hadapan, Pengawasan Bertanggungjawab dan Tadbir Urus Efektif.
Ia turut memaparkan perkembangan yang memberangsangkan, yang mana sejak pengenalan paras dasar tahap inventori karbon pada tahun 2022 untuk mengenal pasti sumber pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) yang merentas seluruh operasi, Lazada telah berjaya mengurangkan emisi GHG sebanyak 10 peratus berbanding tempoh pelaporan terdahulu.
Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Group, James Dong berkata, pihaknya berbesar hati untuk berkongsi kemajuan yang telah dicapai dan amat yakin bahawa Ladaza mampu berkembang dengan lebih pesat pada masa akan datang selaras dengan Laporan Impak ESG yang kedua ini.
โPembangunan yang mampan bukan sahaja merupakan satu tanggungjawab, malah ia juga mampu mewujudkan peluang serta merangsang usaha demi kelestarian bersama. Dengan kolaborasi bersama, kita mampu memperkayakan kehidupan semua pihak yang bergiat dalam ekonomi digital, lantas membina masa hadapan yang lebih mampan dan berdaya tahan,โ katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Kaunsel Am Lazada Group, Gladys Chun berkata, usaha ke arah menangani isu ESG bukan sekadar keupayaan untuk melakukan perkara yang betul, malah lebih daripada langkah tersebut.
โIa turut meliputi penubuhan dasar asas yang membolehkan organisasi untuk menguruskan risiko dan memaksimumkan peluang dengan lebih efisyen, demi membina perniagaan yang lebih kukuh dan berdaya tahan untuk jangka masa panjang,โ ujarnya.
-NIAGATIMES