Lebih 250 PKS terima pendedahan amalan pendigitalan terbaik

Lebih 250 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) daripada pelbagai sektor mendapat manfaat daripada Seminar Peningkatan Skala Digital untuk PKS yang dianjurkan oleh SME Corp. Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), di Kuala Lumpur hari ini.

Bertemakan ‘Tech Up, Scale Up! Elevate Your SME Journey through AI, Digital Transformation and Smart Solutions’, seminar itu bertujuan memperkukuh pemahaman PKS terhadap penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan operasi serta daya saing dalam ekonomi berasaskan inovasi.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama strategik Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) dan Small and Medium Enterprises Association of Malaysia (SAMENTA).

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, yang menegaskan bahawa elemen pendigitalan dan teknologi akan terus menjadi fokus utama kementerian dalam pelaksanaan program di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“KUSKOP melalui agensi-agensinya seperti SME Corp. Malaysia akan memastikan teknologi dan pendigitalan diterapkan dalam setiap inisiatif pembangunan usahawan, sejajar dengan aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 untuk mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan berdaya saing,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy, berkata tumpuan agensi itu pada RMK-13 adalah bagi membantu PKS meningkatkan skala operasi melalui pendekatan bersasar ke arah penghasilan entiti perniagaan berinovasi dan bernilai tambah tinggi.

Seminar tersebut turut disertai oleh 20 syarikat penyedia penyelesaian digital dan teknologi yang mempamerkan pelbagai aplikasi dalam bidang automasi, pembuatan pintar serta penggunaan AI dalam operasi perniagaan.

Sebagai sebahagian daripada siri seminar tahun 2025, edisi pertama ini diadakan di Kuala Lumpur, manakala siri kedua dijadual berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah, pada 17 November 2025.

Inisiatif ini merupakan antara usaha berterusan KUSKOP dan SME Corp. Malaysia untuk mempercepatkan transformasi digital PKS, selaras dengan aspirasi negara untuk menjadikan Malaysia sebagai AI Nation menjelang 2030.

-NIAGATIMES

P3.Seminar-Digital_Lawatan-Booth.JPG