Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah meluluskan pembiayaan hampir RM100 juta kepada lebih 4,300 usahawan di Melaka sehingga 31 Mei tahun ini, sebagai sebahagian usaha memperkukuh pertumbuhan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berkata penyaluran pembiayaan itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperluaskan akses modal kepada komuniti perniagaan tempatan bagi menyokong perkembangan ekonomi negeri.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Melaka bermula 19 hingga 21 Jun sempena penganjuran Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (KHPM), yang turut memberi tumpuan kepada sesi libat urus bersama usahawan serta pemantauan pelaksanaan program di bawah kementerian.
Pada hari pertama lawatan, beliau menghadiri Sesi Mega Meet & Greet bersama usahawan TEKUN di Malim Food Town yang menghimpunkan kira-kira 50 usahawan tempatan.
Dalam program itu, sejumlah hampir RM1 juta pembiayaan turut disampaikan kepada 18 usahawan menerusi TEKUN Nasional dan SME Corp. Malaysia.
Penerima kemudahan pembiayaan berkenaan terdiri daripada pelbagai bidang perniagaan termasuk sektor makanan dan minuman, pemborongan, perkhidmatan profesional, kontraktor pembinaan, peruncitan, automotif, perniagaan dalam talian serta sektor perkhidmatan.
Turut hadir Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Melaka Seah Soo Chin bersama beberapa wakil rakyat negeri dan Persekutuan serta barisan kepimpinan kanan KUSKOP.
Dalam perkembangan berkaitan, Steven Sim berkata sehingga lima bulan pertama tahun ini, KUSKOP telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM5 bilion di seluruh negara yang memberi manfaat kepada hampir 180,000 usahawan.
Beliau berkata kementerian melalui inisiatif PowerUp10K turut menyasarkan penyaluran pembiayaan sebanyak RM15 bilion kepada PMKS sepanjang tahun ini.
Menurut beliau, akses kepada pembiayaan merupakan antara elemen penting dalam memastikan perniagaan tempatan terus berkembang dan pada masa sama membuka lebih banyak peluang pekerjaan.
“Apabila sesebuah perniagaan berkembang hasil sokongan pembiayaan, kesannya bukan sahaja kepada pemilik tetapi turut memberi manfaat kepada pekerja, rantaian pembekal serta ekonomi komuniti setempat.
“Peredaran modal dalam sektor keusahawanan akan menyumbang kepada pengukuhan ekonomi negara dan sebab itu kerajaan mahu lebih banyak pembiayaan dapat disalurkan terus kepada usahawan,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kepelbagaian masyarakat Malaysia sebagai antara kelebihan strategik negara yang mampu menyokong pembangunan bakat serta memperluaskan potensi perniagaan ke peringkat lebih tinggi.
Usai sesi penyerahan simbolik pembiayaan, Steven Sim bersama Seah turut mengadakan lawatan mesra di sekitar Malim Food Town bagi bertemu peniaga dan meninjau aktiviti ekonomi setempat.
-NIAGATIMES




















































