Lotus’s Melaka Cheng kembali beroperasi dengan wajah baharu selepas melalui proses pengembangan yang menyeluruh, sekali gus menawarkan lebih banyak pilihan makanan, sokongan dipertingkat kepada jenama tempatan serta ruang yang lebih selesa dan mesra keluarga untuk komuniti setempat.
Lotus’s Stores (Malaysia) Sdn Bhd dalam kenyataan hari ini memaklumkan pembukaan semula pusat beli-belah kejiranan itu dirangka khusus bagi memenuhi keperluan penduduk di kawasan Melaka Tengah utara yang semakin pesat membangun.
Sejak sekian lama, Lotus’s Melaka Cheng menjadi destinasi harian masyarakat setempat dan penambahbaikan terbaharu ini mengukuhkan lagi peranannya sebagai hab kejiranan yang mudah diakses.
Pengembangan tersebut melibatkan penambahan ruang seluas 4,311 meter persegi, menjadikan keluasan keseluruhan pusat beli-belah itu kepada 7,616 meter persegi.
Naik taraf ini turut memperkenalkan 11 lot baharu yang menempatkan 12 penyewa tambahan, sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhan lot runcit kepada 57.
Daripada jumlah itu, kira-kira 30 peratus diperuntukkan kepada sektor makanan dan minuman (F&B), menjadikan Lotus’s Melaka Cheng sebagai destinasi sehenti untuk menjamu selera, membeli-belah serta meluangkan masa bersama keluarga dalam suasana kejiranan yang selesa.
Ketua Pegawai Kewangan dan Pembangunan Hartanah Lotus’s Malaysia, Yvonne Yong berkata pengembangan berkenaan mengambil kira maklum balas komuniti setempat yang mahukan lebih banyak pilihan makanan, jenama yang dekat di hati pengguna serta ruang yang kondusif untuk aktiviti kekeluargaan.
“Fokus kami adalah kejiranan. Kami mahu Lotus’s Melaka Cheng terus menjadi tempat pilihan keluarga setempat sebagai sebahagian daripada rutin harian mereka,” katanya.
Pusat beli-belah yang diperbaharui itu kini menampilkan gabungan penyewa makanan, gaya hidup dan elektronik, termasuk Harum Kopi, My Mom’s Chicken Rice, Big Apple Donuts, Mee Hiris Express, Bonda Laksa dan Mixue.
Turut melengkapkan penawaran ialah Sin Siang Stationery, Umairose Boutique, Xiaomi, Oppo, LG Electronics dan G Accessories.
Kemasukan Harum Kopi, sebuah jenama tempatan popular, menjadi antara tarikan utama, mencerminkan komitmen Lotus’s Malaysia dalam menyokong pertumbuhan perniagaan tempatan.
Turut diketengahkan ialah My Mom’s Chicken Rice, jenama halal diasaskan personaliti media Linda Onn, yang menyasarkan hidangan kegemaran seisi keluarga.
Sebagai tanda pembukaan semula, wakil media dijemput menyertai program Media Experiential Hunt bagi merasai sendiri pengalaman di pusat beli-belah yang dinaik taraf. Lotus’s Melaka Cheng turut merancang pelbagai aktiviti promosi dan kemasyarakatan sehingga 21 Disember ini.
-NIAGATIMES





















































