Les’ Copaque raikan LC Xpo 2025, umum Taman Tema Upin & Ipin di Genting Highlands

Les’ Copaque Production Sdn Bhd, penerbit siri animasi popular Upin & Ipin, meraikan ulang tahun ke-20 penubuhannya dengan mengumumkan pembangunan Taman Tema Upin & Ipin di King’s Park Genting Highlands, satu usaha baharu yang dijangka menjadi tarikan edutainment bertaraf antarabangsa di Malaysia.

Pengumuman itu dibuat semasa penganjuran LC Xpo 2025, festival empat hari yang berlangsung di WTC Kuala Lumpur dan menghimpunkan pelbagai aktiviti berkaitan animasi, kreatif serta pembangunan bakat muda.

Majlis menandatangani perjanjian antara Les’ Copaque Production dan Kings’ Park Management Sdn Bhd diadakan sebagai simbol permulaan rasmi projek berkenaan, yang bakal menampilkan pelbagai tarikan berasaskan watak kembar animasi paling ikonik negara itu.

Pengasas merangkap Pengarah Urusan Les’ Copaque, Datuk Haji Burhanuddin Md Radzi, berkata perjalanan syarikat sejak 2005 membuktikan impian kecil mampu berkembang menjadi pencapaian besar.

“Taman Tema Upin & Ipin ini membuka lembaran baharu buat kami, membawa watak kegemaran ramai ke dunia sebenar dan memberi inspirasi kepada generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kings’ Park Management Sdn Bhd, Darren Yang, berkata kerjasama tersebut menjadi satu penghormatan besar dan diyakini mampu mengangkat kreativiti Malaysia ke peringkat global.

“Upin & Ipin ialah ikon budaya. Kami yakin taman tema ini akan menjadi destinasi keluarga yang bertaraf dunia,” katanya.

LC Xpo 2025 turut menampilkan pameran yang merangkum perjalanan Les’ Copaque sejak 2005, sekali gus memperlihatkan perkembangan syarikat dalam industri animasi melalui siri popular Upin & Ipin.

Sepanjang festival itu, Ipin Hall dibuka secara percuma kepada pengunjung dengan pameran khas, rakaman langsung podcast, permainan interaktif serta pemberian barangan eksklusif.

Acara berkenaan turut diisi sesi bual bicara bersama tokoh kreatif dan usahawan, selain kelas ‘masterclass’ yang memberi peluang kepada peserta meningkatkan kemahiran animasi. Pertandingan mewarna untuk pelbagai peringkat umur juga dianjurkan sebagai aktiviti santai untuk peminat.

Pada waktu malam, pentas konsert khas di Upin Hall menampilkan persembahan artis dan tenaga kreatif yang telah membentuk siri Upin & Ipin sepanjang 20 tahun.

Les’ Copaque menyifatkan penganjuran LC Xpo sebagai langkah ke hadapan dalam memacu perkembangan industri kreatif negara, seiring dengan perancangan pembinaan Taman Tema Upin & Ipin di Genting Highlands.

-NIAGATIMES

Upin-Ipin-Theme-Park.jpg