Pasukan anggota penguat kuasa daripada Unit Inspektorat dan Penguatkuasaan (UIP), Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah menjalankan Operasi Bersepadu bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor ke atas sebuah premis yang terletak di Klang, Selangor baru-baru ini.
Premis yang diserbu ini dipercayai menjalankan aktiviti membeli, menyimpan dan menjual sarung tangan getah yang ditolak (rejected gloves) dan sarung tangan getah sekerap (scrap gloves) tanpa permit yang sah daripada LGM.
Premis ini turut menyalahgunakan tanda bungkusan dengan meletakkan tanda ‘Made in Malaysia’ pada kotak bagi sarung tangan getah yang tidak dihasilkan di Malaysia (sumber import).
Aktiviti ini merupakan satu kesalahan yang telah melanggar Peraturan-Peraturan Lembaga Getah Malaysia (Pelesenan dan Permit) 2014 di bawah Peraturan 22(1)(b) dan 58 yang mana nilai denda bagi kedua-dua kesalahan adalah tidak melebihi RM80,000 atau penjara tidak melebihi 2 hingga 3 tahun atau kedua-duanya sekali.
Hasil daripada operasi yang telah dijalankan, LGM berjaya merampas 196 palet berisi sarung tangan getah yang ditolak dengan anggaran sebanyak 13,000 karton berserta beberapa sitaan lain yang bernilai anggaran RM346,000.
Pihak LGM sedang giat menjalankan Operasi Bersepadu bagi mengawal selia keseluruhan rantaian industri getah yang beroperasi khususnya untuk membanteras aktiviti haram premis sarung tangan getah serta penyalahgunaan tanda bungkusan ‘Buatan Malaysia’ demi menjaga imej industri getah negara.
Orang awam dialu-alukan untuk membuat sebarang aduan berkaitan pelesenan dan penguatkuasaan dalam industri getah kepada LGM melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) LGM.
-NIAGATIMES