LHDN lancar kod QR pemudah cara semakan cukai

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah melancarkan sistem imbasan kod respons pantas (kod QR) sebagai inisiatif terbaharu bagi kemudahan para usahawan mendapatkan maklumat percukaian dengan lebih cepat tanpa perlu mengases laman web.

Sistem canggih kod QR tersebut bukan sahaja memudahkan usahawan menyemak maklumat cukai pendapatan perniagaan individu, malah pelbagai jenis cukai yang lain seperti cukai pendapatan syarikat dan majikan, cukai korporat, duti setem, cukai koperasi, sekatan perjalanan, ekonomi digital dan penamatan perkhidmatan turut boleh diakses orang ramai.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, pengenalan kepada kod QR ini dapat membantu pembayar cukai mendapatkan maklumat percukaian dengan mudah melalui satu simbol yang membolehkan pengguna mengakses maklumat-maklumat percukaian di hujung jari.

“Pengenalan kemudahan ini merupakan langkah LHDN ke arah transformasi digital urusan cukai selaras dengan hasrat kita dan kerajaan yang ingin menjadikan urusan percukaian lebih mudah dan mesra pengguna,” katanya ketika merasmikan program Sepagi Bersama LHDN di Pejabat LHDN Jalan Duta, semalam.

Untuk menggunakan kemudahan ini, pembayar cukai perlu memastikan telefon pintar mereka mempunyai platform imbasan kod QR. Jika tiada, mereka hanya perlu memuat turun aplikasi kod QR sama ada di Play Store atau App Store.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.