Kementerian Pembangunan Luar Bandar berjaya menaikkan prestasi usahawan luar bandar dalam mempertingkatkan produktiviti masing-masing melalui pengenalan lima program baharu untuk tempoh hampir setahun kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara.
Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, lima program keusahawanan tersebut ialah Ekspo Inovasi dan Teknologi Keusahawanan Desa (INOTEKDESA), Karnival Usahawan Desa (KUD), Program Pembangunan Usahawan Profesional (ProSPEC), Dana Harapan Strategi Realisasi Keusahawanan (HERS Fund) dan Program Wanita Inspirasi Ekonomi (WISE) telah semakin mendekatkan jurang pendapatan penduduk bandar serta luar bandar.
“Usahawan luar bandar boleh menghasilkan produk yang berkualiti. Dari segi pemasaran dan penjenamaan, ada yang mendapat tempahan namun terpaksa ditolak akibat kekurangan tenaga kerja.
“Sebab itu INOTEKDESA contohnya telah memperkenalkan usahawan yang memiliki mesin membuat kuih secara lebih pantas dengan menambah produktiviti serta boleh menghasilkan produk yang lebih bersih,” katanya kepada pemberita sempena setahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan di Putrajaya, semalam.