Usaha untuk memperkukuh hubungan teknologi antara Malaysia dan United Kingdom (UK) telah mula membuahkan hasil dengan lima syarikat kecerdasan buatan (AI) UK setakat ini telah menubuhkan operasi di negara ini.
Pesuruhjaya Perdagangan UK bagi Asia Pasifik Natalie Black berkata kerjasama itu selaras dengan aspirasi kedua-dua negara untuk mempromosikan etika AI, dengan beberapa pihak telah menyuarakan kebimbangan berhubung perkara itu akhir-akhir ini.
“Kami telah mengadakan perbincangan kerajaan dengan kerajaan di mana kami telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo ketika beliau berkunjung ke UK pada awal tahun ini,” katanya pada persidangan NextBigTech Asia 2019, baru-baru ini.
Kerjasama teknologi antara Malaysia dan UK, katanya, akan memacu penerapan AI dalam Revolusi Industri 4.0 pada kadar lebih cepat kerana ia dapat meningkatkan produktiviti secara menyeluruh.
Penyelidikan yang dijalankan termasuk oleh Microsoft, menurut pesuruhjaya perdagangan itu telah menunjukkan guna pakai AI pada kadar lebih tinggi akan dapat mendorong inovasi serta meningkatkan produktiviti sebanyak 60 peratus.
Beliau juga berkata persekitaran AI yang selamat akan menyumbang kepada ekonomi global yang lebih sihat dan lebih adil. – BERNAMA