Lonjakan harga minyak sawit dunia tak jejas subsidi minyak masak tempatan

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) amat prihatin dengan isu kenaikan harga minyak masak di pasaran tempatan yang berlegar di media sosial kebelakangan ini yang mengaitkannya dengan kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM).

Menteri KPPK, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, walaupun harga MSM telah meningkat dengan ketara dalam tempoh antara Julai 2019 hingga Januari 2021, namun peningkatan harga minyak masak di pasaran tempatan adalah pada kadar rendah.

“Ini menunjukkan strategi subsidi yang dilaksanakan oleh kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengurangkan impak negatif akibat turun naik harga minyak sawit di pasaran dunia terhadap pengguna tempatan.

“Selain itu, pengguna mempunyai pilihan untuk membeli minyak masak bersubsidi satu kilogram pada harga RM2.50 terutamanya bagi golongan B40,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Khairuddin, peningkatan harga MSM ini dalam masa yang sama juga telah meningkatkan hasil kepada negara selain dapat membantu kira-kira 500,000 pekebun kecil sawit meningkatkan taraf sosio ekonomi pada ketika ini.

“Kementerian berharap agar harga pasaran sawit dunia akan terus kekal tinggi bagi tahun 2021 supaya rakyat dapat menikmati manfaat daripada kenaikan harga tersebut melalui pulangannya oleh kerajaan,” katanya.

-NIAGATIMES

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.