Rangkaian pasar raya besar, Lotuss Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus’s Malaysia) didorong oleh semangat #KitakanJiran komited untuk terus menzahirkan belas ihsan dalam bentuk barangan Lotus’s dan sumbangan makanan dan tenaga sepanjang bulan Ramadan dengan membantu lebih ramai orang, keluarga dan komuniti di seluruh Semenanjung Malaysia.
Ketua Komunikasi dan CSR untuk Lotus’s Malaysia, Hanim Hamdan berkata, pihaknya teruja untuk kembali bersama-sama pada bulan istimewa ini untuk membuat perubahan melalui inisiatif #KitakanJiran Lotus’s.
“Bekerjasama dengan rakan NGO yang dipercayai seperti Food Aid Foundation bukan sahaja memberi kami akses untuk menjangkau kumpulan yang kurang bernasib baik tetapi juga belajar daripada kepakaran mereka dalam penyediaan hidangan seimbang dan berkhasiat.
“Ia juga merupakan peluang untuk rakan sekerja kami di Lotus’s untuk lebih terlibat dalam kesukarelawanan melalui kerja amal yang merupakan sebahagian daripada semangat #KitakanJiran warga kerja Lotus’s,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada tahun ini, Lotus’s turut akan membawa kembali harga semasa pra-covid #Imbasbalikharga2019 untuk barangan segar dan runcit terpilih dari 31 Mac 2022 hingga 25 Mei 2022 bersempena Aidilfitri yang bakal tiba.
Lain-lain tawaran menarik juga termasuk koleksi pakaian Raya serendah RM29.90, dan Harga Rendah Segar Setiap Hari sehingga 26 Jun 2022 untuk ayam segar, udang, limau dan produk utama segar yang lain.
Malah, kesemua 64 stor Lotus’s juga dilengkapi dengan tong amal makanan untuk membolehkan pelanggan turut serta dalam sumbangan barangan keperluan sepanjang bulan Ramadan bagi menceriakan lagi sambutan hari raya yang bakal tiba untuk penerima terpilih termasuk rumah anak yatim, rumah orang tua, kumpulan ibu tunggal dan pelajar-pelajar dari keluarga B40.
Selain itu, Lotus’s turut bekerjasama dengan stesen radio terkenal HotFM dalam kempen 30 Ramadan, Ceria Untuk Komuniti Sebab #KitakanJiran, Baru Berseri Rasanya untuk mengedarkan pelbagai jenama barangan Lotus’s di 23 lokasi sekitar Lembah Klang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.
-NIAGATIMES