LPPSA, Bank Muamalat sedia pembiayaan bantu penjawat awam miliki rumah kediaman

Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) telah memeteraikan Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) bertempat di Zenith Hotel, Putrajaya hari ini.

Pemeteraian MoU antara LPPSA dengan Bank Muamalat membolehkan kakitangan sektor awam memohon pembiayaan daripada LPPSA serta Bank Muamalat telah bersetuju menjadi pemegang gadaian kedua bagi menyelesaikan wang beza.

Kedua-dua belah pihak LPPSA dan Bank Muamalat menyambut baik usaha yang dilaksanakan dan menganggap ia merupakan satu inisiatif positif yang melibatkan kerjasama sektor awam dan swasta bagi merealisasikan hasrat Kerajaan untuk memastikan setiap kakitangan sektor awam memiliki rumah kediaman dan akan bekerjasama dalam menjalankan dan menyertai aktiviti pemasaran bersama.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, melalui pembiayaan perumahan Gadaian Kedua ini, pihak bank akan menyediakan pembiayaan perumahan tambahan untuk pembelian rumah idaman bagi melengkapkan pembiayaan perumahan yang telah diluluskan oleh LPPSA.

“Pihak Bank Muamalat menawarkan margin pembiayaan istimewa sehingga 90 peratus kepada bakal pembeli rumah. Di samping itu kos berkaitan seperti Takaful Gadaijanji (MRTT), yuran guaman dan Takaful Pemilik Rumah Jangka Panjang (LTHT) boleh dibiayai melalui pembiayaan perumahan Bank Muamalat,” jelasnya.

Untuk maklumat lanjut mengenai pembiayaan yang disediakan oleh Bank Muamalat, sila layari www.muamalat.com.my atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan Bank Muamalat di talian 03-2600 5500, atau kunjungi cawangan Bank Muamalat yang berhampiran.

-NIAGATIMES

GAMBAR-HIASAN.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.