Magika Studios dibuka 2026, angkat unsur alam sekitar dan budaya tempatan

Sebuah tarikan pelancongan berkonsepkan didik hibur bakal muncul di Mangrove Point, Hutan Simpan Raja Lumu apabila KRU Entertainment Sdn Bhd (KRUESB) dan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) melancarkan pembangunan Magika Studios, yang dijadual mula beroperasi sepenuhnya sekitar pertengahan 2026.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif KRUESB, Datuk Norman Abdul Halim, berkata projek itu dibangunkan untuk menggabungkan unsur hiburan, pendidikan dan pemuliharaan alam sekitar, sejajar dengan usaha memperkenalkan semula warisan budaya tempatan kepada generasi muda.

Menurut beliau, studio berkenaan akan mengetengahkan watak legenda Melayu seperti Hang Tuah dan Badang sebagai elemen utama penceritaan, selain menyelitkan mesej kelestarian alam bagi memupuk kesedaran mengenai kepentingan ekosistem semula jadi.

“Ramai anak muda hari ini terarah kepada pengaruh budaya luar. Jadi, konsep Magika Studios ini diolah supaya pengunjung bukan saja berhibur, tetapi dapat memahami akar budaya kita dan menghargai alam sekitar,” katanya pada majlis pengumuman kerjasama strategik antara KRUESB dan LLSB, baru-baru ini.

Norman memaklumkan bahawa kira-kira lapan daripada 10 zon yang dirancang akan dibuka pada fasa pertama operasi, dengan Hang Tuah dijangka menjadi tarikan utama.

Pengunjung turut ditawarkan pengalaman interaktif menerusi penceritaan bersambung melibatkan watak-watak mitos Melayu.

Bagi memastikan keselesaan, kapasiti kemasukan akan dihadkan kepada sekitar 500 orang pada setiap jam.

Selain tarikan darat, aktiviti River Educational Trip menggunakan bot turut disediakan bagi memberi kefahaman mengenai kebersihan sungai dan kepentingan habitat paya bakau.

Beliau berkata projek kini memasuki fasa kedua, melibatkan penambahbaikan infrastruktur sokongan seperti bekalan elektrik dan sistem perpaipan tanpa pembangunan berat, bagi menjaga keseimbangan ekologi.

“Pendekatan minimalis diterapkan agar kawasan paya bakau kekal terpelihara. Kami mahu projek ini menjadi contoh pembangunan yang menghormati alam,” katanya.

Mengenai harga tiket, Norman menegaskan kadar yang akan diumumkan kelak akan disesuaikan untuk semua lapisan masyarakat.

Di pihak LLSB, Pengarah Urusannya Syaiful Azmen Nordin berkata, fasa pertama pembangunan bernilai RM13 juta merangkumi pembinaan pintu gerbang, laluan ‘boardwalk’ dan kemudahan asas yang telah disiapkan pada 2021, namun pelaksanaannya tertangguh akibat pandemik.

Beliau menjelaskan bahawa fasa kedua memberi tumpuan kepada usaha mengkomersialkan kawasan Mangrove Point dan kerjasama dengan KRUESB dipilih kerana kepakaran syarikat itu dalam pembangunan kandungan digital dan hiburan.

Projek seluas 70 ekar itu merupakan sebahagian inisiatif pembangunan berteraskan ESG di bawah Pelan Pembangunan Selangor Maritime Gateway (SMG) Fasa II 2024–2030, dengan nilai keseluruhan mencecah RM25 juta.

Magika Studios dijangka menjadi pemangkin baharu sektor pelancongan di Pelabuhan Klang melalui pendekatan integrasi antara teknologi, hiburan dan pendidikan alam sekitar.

-NIAGATIMES

Magika-Studios.jpg