Malaysia Airlines dan Trip.Biz, cabang perjalanan korporat di bawah Trip.com Group, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) baharu bagi memperkukuh penawaran penyelesaian perjalanan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di pasaran Asia, Eropah dan rantau lain.
MoU itu membuka jalan kepada penyepaduan program MHcorporate SME milik Malaysia Airlines ke dalam platform Trip.Biz, sekali gus membolehkan pelanggan global platform tersebut menikmati akses lebih mudah kepada tambang khas PKS merentasi 25 pasaran dan lokasi IATA yang diliputi syarikat penerbangan negara itu.
Perjanjian tersebut turut menyasarkan Malaysia Airlines sebagai rakan penerbangan pilihan di platform tempahan Trip.Biz.
Melalui kerjasama ini, Trip.Biz akan menyokong usaha meningkatkan penglibatan pelanggan terhadap program MHcorporate SME, termasuk meneroka integrasi antara API portal MHcorporate dengan sistem tempahan dalam talian Trip.Biz.
Inisiatif itu dijangka mempertingkat kecekapan proses tempahan serta memudahkan perjalanan perniagaan untuk syarikat berskala kecil dan sederhana.
Ketua Pegawai Komersial Penerbangan Malaysia Aviation Group (MAG), Dersenish Aresandiran berkata, kerjasama tersebut menggambarkan komitmen Malaysia Airlines dalam memperkasa perjalanan korporat dan menggalakkan PKS merebut peluang di pasaran antarabangsa.
Beliau menegaskan bahawa kerjasama dengan Trip.Biz dapat memperluas capaian syarikat penerbangan itu sambil menawarkan pengalaman perjalanan yang dipertingkat kepada pelanggan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Trip.Biz, Dr. Tao Song, menyifatkan MOU tersebut sebagai satu langkah selari dengan matlamat syarikatnya untuk menyediakan penyelesaian perjalanan lebih pintar dan menjimatkan kos bagi PKS yang ingin mengembangkan operasi ke luar negara.
Program MHcorporate SME menawarkan manfaat perjalanan korporat tanpa keperluan perbelanjaan minimum, termasuk fleksibiliti tambang, diskaun eksklusif dan pengurusan akaun yang lebih mudah.
Trip.Biz pula menerapkan pendekatan digital yang menyokong perjalanan perniagaan dan trend ‘bleisure’, memberikan penyelesaian komprehensif untuk memenuhi keperluan tenaga kerja masa kini.
Kerjasama kedua-dua pihak dijangka mewujudkan ekosistem perjalanan lebih terhubung, menyokong pertumbuhan syarikat pelbagai saiz melalui gabungan rangkaian global, teknologi dan perkhidmatan pelanggan bertaraf antarabangsa.
-NIAGATIMES






















































