Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah melancarkan Malaysia Digital, iaitu sebuah inisiatif yang memacu pertumbuhan ekonomi digital negara untuk manfaat Keluarga Malaysia, semalam.
Malaysia Digital yang diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) menerusi agensi peneraju ekonomi digital, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), merupakan inisiatif strategik nasional oleh kerajaan dalam menggalakkan dan menarik syarikat, bakat serta pelaburan bagi membolehkan perniagaan dan rakyat memainkan peranan penting dalam ekonomi digital dunia.
Malaysia Digital akan membolehkan Malaysia lebih bersedia dalam mendepani persekitaran ekonomi yang dinamik dan membantu dalam memperkasa asas negara digital menjadi lebih kukuh dan impaknya akan memberi manfaat kepada rakyat, perniagaan, Kerajaan dan negara.
Sehubungan itu, bagi mencapai hasrat tersebut, peranan industri akan turut diberi keutamaan sama penting dalam melaksanakan inisiatif Malaysia Digital dengan lebih berkesan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, Malaysia Digital merupakan cerminan usaha berterusan K-KOMM dan MDEC dalam memacu ekonomi digital Malaysia, selaras dengan visi Kementerian untuk menubuhkan suatu masyarakat yang bermaklumat, kreatif dan berbudaya digital.
“Transformasi digital negara dan rakyat akan terus menjadi keutamaan dalam inisiatif kementerian kerana saya percaya teknologi digital bukan lagi visi masa depan, tetapi realiti masa kini.
“Pelancaran Malaysia Digital akan menjadi batu loncatan bagi ekonomi digital negara untuk mencapai kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan.
“K-KOMM dan MDEC akan menubuhkan sebuah platform khas kepada pihak industri untuk mengambil bahagian dan memberikan maklum balas mengenai Malaysia Digital dan akan melibatkan wakil sektor swasta yang terdiri daripada badan dan organisasi industri berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan.
Malaysia Digital dibangunkan untuk melaksanakan tiga keutamaan strategik iaitu membantu memacu adaptasi digital dalam kalangan usahawan muda, syarikat dan rakyat; membantu syarikat teknologi tempatan menjadi ‘Juara Malaysia’ iaitu berjaya di peringkat antarabangsa; dan menarik pelaburan berkualiti tinggi.
Untuk mencapai hasrat tersebut, Kerajaan melalui MDEC akan memperkenalkan dua Program Mangkin Malaysia Digital (PEMANGKIN) terawal iaitu DE Rantau dan Digital Trade.
-NIAGATIMES