Malaysia kini rantaian bekalan perkilangan kelengkapan 5G global Ericsson

Peneraju 5G, Ericsson telah meningkatkan sumbangan sosioekonominya kepada Malaysia dengan mengeluarkan kelengkapan radio 5G yang serba canggih di Pulau Pinang. Ini merupakan kemudahan perkilangan 5G syarikat itu yang pertama di Asia Tenggara.

Ericsson telah melebarkan sayap ke Malaysia sejak tahun 1965. Kini, syarikat berkenaan sedang melancarkan rangkaian 5G di Malaysia, yang telah diiktiraf di peringkat global.

Pengeluaran itu disempurnakan dengan kehadiran Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching yang mewakili Menterinya, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, Pemangku Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, serta Duta Sweden ke Malaysia, Dr. Joachim Bergstrom.

Kelengkapan radio 5G yang dikeluarkan di Malaysia termasuk radio bersepadu antena Massive MIMO terkemuka dalam industri yang ringan dan jimat tenaga, yang dihasilkan di Prai, Pulau Pinang menerusi kerjasama dengan Flex, iaitu pengeluar teknologi global yang beroperasi di 30 negara.

Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hagerbro berkata, Ericsson merupakan peneraju dunia dalam teknologi 5G yang menyokong 147 rangkaian aktif di 63 negara, termasuk Malaysia.

“Perkilangan kelengkapan radio 5G global Ericsson di Malaysia merupakan satu lagi sumbangan sosioekonomi kami kepada negara, dan salah satu daripada pelbagai inisiatif terbaharu kami untuk membawa pengalaman, kepakaran dan wawasan global kami ke Malaysia bagi menyokong aspirasi kerajaan ke arah menjadi peneraju digital.

“Malaysia merupakan pasaran yang penting bagi Ericsson, dan perkilangan domestik di Malaysia akan menyumbang kepada ekonomi tempatan melalui pekerjaan dan pemindahan pengetahuan teknikal kepada tenaga kerja tempatan dalam bidang seperti perkilangan, ujian kelengkapan dan kejuruteraan produk,” ujarnya.

Selain menyampaikan rangkaian 5G bertaraf dunia, pemilihan Malaysia sebagai lokasi perkilangan turut meningkatkan sumbangan sosioekonomi Ericsson kepada negara.

-NIAGATIMES

Ericsson-Malaysia.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.