Melalui kajian dan usahasama antara Meditech Gloves Sdn Bhd dengan universiti penyelidikan terkemuka dunia, Universiti Cranfield, sejenis komposit getah generasi baharu daripada kombinasi ekstrak graphene dan getah asli berjaya dihasilkan.
Daripada getah asli yang ditoreh dari ladang, bahan ini akan diaplikasikan dalam pembuatan belon aeroangkasa dan akan menjadi yang pertama seumpamanya di dunia untuk dilepaskan ke angkasa.
Kombinasi graphene dan getah asli ini mampu meningkatkan daya tahan serta keanjalan komponen getah bagi menghadapi tekanan ruang udara yang tinggi di angkasa lepas.
โPada hari ini elemen getah dapat ditemui dalam pelbagai jenis produk, dari kegunaan harian sehinggalah untuk industri pembuatan, kesihatan dan kejuruteraan.
โSaya percaya penemuan baru ini akan membuka peluang untuk Malaysia menceburi industri bernilai tinggi dan meneroka pasaran baru yang melibatkan aplikasi satelit dan aeroangkasa seterusnya membantu meningkatkan nilai eksport produk getah negara,โ kata Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob di pelancaran Malaysia International Agricommodity Expo & Summit (MIACES) 2022 anjuran Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) di MITEC, hari ini.
Menteri KPPK, Datuk Zuraida Kamaruddin pula berkata, โMalaysia sudah memang dikenali sebagai pengeksport getah asli dan pengeluar barangan getah yang berkualiti tinggi. Justeru, kepakaran serta pengalaman Malaysia dalam bidang penyelidikan ini sememangnya telah berakar umbi dan sehingga kini menjadi sumber rujukan utama industri berasaskan getah dari seluruh dunia.โ
โKejayaan teknologi ini akan meletakkan Malaysia sebagai negara yang relevan sebagai peneraju teknologi getah dunia. Majlis Getah Malaysia (MRC) berperanan membantu dalam mempromosikan teknologi ini ke pasaran antarabangsa dan meningkatkan kadar pelaburan seterusnya melonjakkan nilai rantaian industri getah negara,โ kata Ketua Pegawai Eksekutif MRC, Nor Hizwan Ahmad.
-NIAGATIMES