Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan digital utama di rantau Asia Tenggara apabila aliran pelaburan langsung asing (FDI) negara melepasi paras RM1 trilion buat pertama kali menjelang akhir 2025.
Pencapaian berjumlah RM1.069 trilion itu mencerminkan keyakinan berterusan pelabur antarabangsa terhadap prospek ekonomi dan agenda transformasi digital negara, khususnya dalam sektor teknologi serta infrastruktur digital.
Antara pelaburan terbesar diumumkan ialah komitmen Microsoft sebanyak USD2.2 bilion (kira-kira RM10.3 bilion) bagi memperluas pembangunan awan dan kecerdasan buatan (AI), selain pelaburan USD2 bilion (sekitar RM9.4 bilion) oleh Google untuk pusat data serta pengembangan perkhidmatan awan di Malaysia.
Pemerhati industri melihat perkembangan itu sebagai petunjuk bahawa Malaysia kini muncul sebagai destinasi strategik untuk pelaburan teknologi berskala besar dan bukan lagi sekadar pasaran sedang membangun.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IEC Telecom Antoine Veillon berkata Malaysia memiliki kelebihan tersendiri menerusi pertumbuhan ekonomi digital yang pesat, dasar kerajaan yang progresif dan peningkatan permintaan terhadap sambungan berkualiti tinggi.
Beliau berkata keupayaan menyediakan rangkaian komunikasi yang stabil dan berdaya tahan menjadi faktor penting dalam menyokong pembangunan infrastruktur digital jangka panjang.
Menurutnya, walaupun liputan internet negara kini hampir mencecah 99 peratus dan capaian 5G meliputi 82 peratus kawasan berpenduduk, cabaran utama kini tertumpu kepada aspek kestabilan dan konsistensi rangkaian.
“Dalam ekonomi digital, gangguan sambungan boleh menjejaskan produktiviti, meningkatkan kos operasi dan memperlahankan pelaksanaan projek,” katanya.
Situasi itu memberi kesan ketara kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang semakin bergantung kepada sistem digital seperti e-dagang, pembayaran tanpa tunai dan perkhidmatan berasaskan awan.
Sehubungan itu, pendekatan rangkaian hibrid yang menggabungkan gentian optik, rangkaian mudah alih dan sambungan satelit Orbit Bumi Rendah (LEO) dilihat semakin relevan bagi meningkatkan daya tahan infrastruktur negara.
Pengarah Urusan IEC Telecom Malaysia Hisham Ghaffar berkata teknologi LEO seperti Starlink kini memainkan peranan penting sebagai sokongan sambungan, khususnya bagi kawasan yang masih berdepan kekangan infrastruktur.
Beliau berkata model sambungan bersepadu itu mampu membantu Malaysia merealisasikan aspirasi MyDIGITAL serta memperkukuh daya saing negara dalam ekonomi digital global.
-NIAGATIMES





















































