Malaysia terus mengukuhkan reputasinya sebagai destinasi pelancongan terkemuka apabila menerima dua pengiktirafan utama pada majlis Top Asia Corporate Ball 2025, iaitu Asia’s Ultimate Shopping Paradise dan Asia’s Street-Food Capital.
Anugerah tersebut disampaikan kepada Tourism Malaysia yang diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Manoharan Periasamy, pada majlis gilang-gemilang yang berlangsung di Hotel Berjaya Times Square. Acara anjuran Research House of Asia dan RHA Media itu memasuki edisi ke-10 penganjurannya.
Mengulas mengenai pengiktirafan Malaysia, Datuk Manoharan berkata, kejayaan tersebut hadir tepat pada waktunya, sekali gus menyuntik semangat baharu menjelang pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026 (Visit Malaysia 2026) yang amat dinantikan.
“Pengiktirafan ini membawa makna yang mendalam buat kami. Ia bukan sekadar mengiktiraf pencapaian Malaysia, tetapi mengangkat usaha berterusan kami menuju kecemerlangan dalam pelancongan, hospitaliti, budaya dan pengalaman pelancong, lebih-lebih lagi ketika kita bersiap memasuki era penting pelaksanaan Visit Malaysia 2026.
“Apabila dua anugerah ini disatukan, ia menggambarkan kekuatan terunggul Malaysia iaitu kepelbagaian. Daripada cita rasa dan gaya hidup hinggalah budaya dan pengalaman, kepelbagaian inilah yang membentuk jiwa negara. Justeru, ia akan terus menjadi nadi utama Visit Malaysia 2026, mempamerkan keindahan Malaysia yang tulen dan mempesona,” ujarnya.
Sementara itu, Editor Pengurusan RHA Media, Lee Seng Chee berkata, pengiktirafan Malaysia sebagai Asia’s Street-Food Capital adalah berdasarkan keunikan kulinari negara ini yang membuka ruang penerokaan tanpa batas kepada pencinta makanan.
“Malaysia mengambil kedudukan tertinggi sebagai ‘Asia’s Street-Food Capital’ dengan hidangan autentik dan mampu dinikmati semua lapisan masyarakat. Pulau Pinang menjadi nadi gastronomi negara dengan gabungan rasa Melayu, Cina dan India yang menghasilkan aroma dan citarasa tersendiri,” katanya.
Mengenai anugerah Asia’s Ultimate Shopping Paradise pula, beliau menjelaskan bahawa Malaysia menampilkan landskap runcit yang lengkap dan pelbagai.
“Daripada pusat beli-belah mewah bertaraf dunia kepada pasar terbuka yang meriah, Malaysia menawarkan pengalaman membeli-belah menyeluruh untuk setiap citarasa dan bajet,” ujarnya.
Majlis tersebut turut meraikan beberapa negara lain yang menerima pengiktirafan dalam kategori masing-masing, antaranya Indonesia (Asia’s Top Country for Romantic Getaways), Maldives (Asia’s Most Serene Wellness Retreat), Filipina (Asia’s Top Destination for Spectacular Beaches), Sri Lanka (Asia’s Ultimate Wildlife Tourism Haven), Azerbaijan (Asia’s Cultural and Historical Tourism Nation) dan Kazakhstan (Asia’s Must-Go-To Country for Nature & Adventure Tourism). Penganugerahan kepada negara-negara berkenaan disampaikan kepada para duta masing-masing.
Selain sektor pelancongan, majlis itu turut memberi penghormatan kepada beberapa tokoh seni, korporat dan pendidikan. Antara penerima yang mencuri tumpuan ialah dua ikon muzik Nusantara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang meraih Asia Legendary Lifetime Achievement dan Dato’ Sri Rossa yang dinobatkan sebagai Asia Legendary Music Icon.
Tokoh aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye, turut menerima anugerah Lifetime Contribution to Nation Building, manakala jenama fesyen kebangsaan Rizman Ruzaini diumumkan sebagai Brand of the Year.
Dalam bidang pendidikan, Professor Tan Sri Dato’ Wira Dr Mohd Shukri Ab. Yajid, Presiden dan Pengasas Management & Science University (MSU), menerima Asia Lifetime Achievement Award, sementara Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dinobatkan sebagai Technopreneurship University of the Year.
Beberapa syarikat gergasi negara turut diraikan, termasuk KPS Berhad (Malaysia’s Company of the Year), Bank Simpanan Nasional (Malaysia’s Bank of the Year), Tune Protect Group Berhad (Malaysia’s Company of the Year) dan AEON Credit Service (M) Berhad (Malaysia’s Company of the Year).
Top Asia Corporate Ball 2025menghimpunkan kira-kira 500 ketua pegawai eksekutif, pemilik perniagaan dan personaliti ternama Asia, termasuk tokoh industri, selebriti serta legenda Malaysia.
Majlis turut diserikan oleh keberangkatan tetamu diraja, Yang Amat Mulia Paduka Puteri Tunku Mariamz binti Al-Marhum Sultan Iskandar.





















































