Malaysia telah bersetuju untuk menyertai kerjasama dengan negara anggota Persatuan Lingkungan Lautan Hindi (IORA) dalam mempromosikan bidang Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negara masing-masing.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dalam satu kenyataan berkata, persetujuan yang telah dicapai menyaksikan Menteri MEDAC, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah mewakili Malaysia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk merealisasikan matlamat berkenaan.
โPemeteraian MoU IORA ini merupakan satu lagi inisiatif dan peluang kerjasama di bawah platform IORA untuk memacu agenda pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serantau.
โKerjasama di bawah platform IORA ini akan membuka peluang PKS untuk memupuk kerjasama dan menyumbang kepada pencapaian nilai eksport sebanyak 30 peratus menjelang tahun 2030,โ katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, sebanyak 15 daripada 22 negara anggota IORA telah memeterai MoU tersebut.
โAntara kerjasama yang dapat dicapai ialah membina jaringan dan kerjasama antara institusi berkaitan dari negara anggota, menggalakkan penyertaan PKS dalam forum perniagaan, ekspo perdagangan, seminar dan platform berkaitan serta pertukaran pengalaman dan maklumat pembangunan PKS antara negara anggota.
โMalah, ia turut memudah cara capaian kepada akses pasaran melalui pematuhan standard, pensijilan dan penambahbaikan teknologi serta memudah cara aspek pembangunan kapasiti dan program kemahiran keusahawanan,โ jelasnya.
IORA merupakan pertubuhan yang dianggotai oleh 22 negara yang terdiri daripada Australia, Bangladesh, Comoros, India, Indonesia, Iran, Kenya, Madagascar, Malaysia, Maldives, Mauritius, Mozambique, Oman, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Seychelles, Singapura, Afrika Selatan, Somalia, Sri Lanka, Tanzania, Thailand dan Yaman.
-NIAGATIMES