Manchester United (Man United) baru-baru ini telah mengumumkan satu perkongsian berbilang tahun yang penting yang akan menyaksikan Tezos, satu daripada blok rantai termaju dan mapan di dunia, dipaparkan pada rangkaian kit latihan lelaki dan wanita kelab bola sepak itu.
Kit latihan berjenama Tezos mula dipakai oleh skuad utama pasukan itu buat kali pertama menjelang perlawanan hujung minggu lalu menentang Southampton, untuk memperkenalkan peminat Manchester United kepada perkongsian itu dan teknologi Web3 melalui blok rantai Tezos.
Ketua Pegawai Eksekutif bagi Perikatan dan Perkongsian Man United, Victoria Timpson berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan satu daripada blok rantai yang paling mesra alam, dengan menggunakan teknologi yang cekap tenaga, mengehadkan pelepasan karbon dan mengurangkan kos, selaras dengan usaha lebih luas kelabnya untuk menggalakkan kelestarian alam sekitar.
“Perkongsian adalah teras bagi kekuatan kami sebagai sebuah kelab, menyokong pemacu bagi kejayaan di atas padang, dan kami berbesar hati untuk mengalu-alukan Tezos sebagai peneraju industri terkini untuk menyertai keluarga rakan kami,” katanya.
Sementara itu, Ketua bagi Penerimaan dan Pembangunan Perniagaan Tezos Ecosystem, Edward Adlard berkata, Tezos akan membolehkan Man United untuk menggunakan blok rantai dan Web3 bagi mengubah penglibatan peminat, pemain, pasukan dan rakan kongsi.
“Keputusan Man United untuk memilih Tezos sebagai blok rantai pilihan mereka adalah pengesahan selanjutnya bahawa reka bentuk yang difikirkan dengan teliti dipadankan dengan keselamatan yang kukuh, bayaran gas yang rendah dan inovasi yang diterajui komuniti merupakan faktor penting yang mendorong gelombang penerimaan seterusnya di dalam revolusi digital,” ujarnya.
-NIAGATIMES