Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengambil maklum akan kebimbangan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) mengenai risiko negara kehilangan hasil sehingga RM21 bilion pada tahun 2021 dan dijangka meningkat kepada RM28 bilion pada tahun ini sekiranya pekerja asing tidak dibawa masuk dengan segera.
Isu kekurangan pekerja asing bermula susulan penutupan sempadan negara disebabkan pelaksanaan beberapa peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik Covid-19 memuncak dan meruncing sehingga menjejaskan proses menuai hasil di ladang-ladang seluruh negara.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kementeriannya pada masa sama turut menyambut baik persetujuan dilakukan oleh Republik Indonesia atas keputusan membenarkan semula kemasukan pekerjanya ke Malaysia yang telah berkuat kuasa sejak 1 Ogos 2022 lalu, selepas menarik balik sekatan sebelum itu, yang dibuat berikutan kebimbangan mengenai isu berkaitan hak-hak pekerja warganegaranya.
“Bagi mempermudahkan proses pengambilan pekerja asing, KPPK sedar bahawa proses itu perlu dilaksanakan dengan berkesan dan lengkap. Sehubungan itu, pihak kementerian berharap proses berkenaan diselaraskan secara berperingkat kepada platform digital sepenuhnya dan seboleh-bolehnya tanpa melibatkan penggunaan tenaga manusia,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Zuraida, KPPK menggalakkan pemilik ladang untuk memberikan latihan semula kemahiran dan peningkatan kemahiran dalam kalangan pekerja warga tempatan, selain mengamalkan pengurusan tenaga buruh dengan baik yang penting untuk mengekalkan pekerja-pekerja asing digajikan mereka bagi penyelesaian jangka panjang.
“Dasar pengurusan tenaga buruh yang baik bukan sahaja dapat menggelakkan pekerja asing yang digajikan mereka daripada melarikan diri, malah ia juga membolehkan majikan mengelakkan risiko terlibat dalam isu-isu berkaitan buruh paksa dan pemerdagangan manusia, yang dilihat boleh menjejaskan urusan eksport bagi tempoh jangka masa panjang,” jelasnya.
-NIAGATIMES