MARDI anjur Persidangan Buah-Buahan Kebangsaan 2021

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan International Tropical Fruits Network (TFNet) telah menganjurkan Persidangan Buah-buahan Kebangsaan 2021 (BUAH 2021) yang disertai 300 dari penggubal dasar, pengusaha ladang, ahli akademik, pengusaha produk dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memajukan industri buah-buahan di Malaysia.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, industri buah-buahan negara semakin berkembang pesat dengan keupayaan menghasilkan 1.5 juta tan buah-buahan setahun di mana tahap sara diri adalah 100 peratus bagi buah-buahan utama kecuali mangga.

“Selain mengurangkan kebergantungan kepada import, strategi perlu diatur bagi meningkatkan lagi daya saing buah-buahan di persada antarabangsa,” katanya sewaktu merasmikan BUAH 2021 di Ibu Pejabat MARDI Serdang, hari ini.

Tambah Ahmad, peranan utama MARDI turut memainkan peranan untuk meningkatkan industri buah-buahan dengan pelbagai teknologi yang berkonsepkan ‘Dari Makmal ke Meja Hidangan’.

“MARDI telah melancarkan pelbagai klon dan varieti baharu buah-buahan seperti klon belimbing Bintang Mas pada tahun 2019 dan rambutan Mutiara Merah dan Mutiara Wangi pada tahun 2018.

“Selain daripada itu, MARDI juga menghasilkan klon durian yang sangat bermutu iaitu MDUR 88, nanas Josapine, betik Eksotika I, Eksotika II, limau bali Melomas serta ciku Mega,” ujarnya.

Bertemakan ‘Buah-buahan: Ke arah memperkasakan industri pertanian negara’, BUAH 2021 berlangsung bermula hari ini sehingga 8 April 2021.

Persidangan ini bertujuan untuk menilai dan membincangkan kedudukan Malaysia sebagai pengeluar dan pengeksport buah-buahan tempatan.

-NIAGATIMES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.