Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah memperkenalkan Varieti Baharu Cili MARDI yang merupakan satu langkah penting dalam usaha meningkatkan pengeluaran cili domestik dan mengurangkan kebergantungan kepada import cili.
Varieti cili baharu yang diberi nama Cili MARDI ini merupakan hasil daripada program pembaikbakaan yang dijalankan oleh MARDI dengan menggunakan teknologi moden dan penyelidikan intensif. Cili ini adalah hasil kacukan antara dua genotip terpilih, iaitu Ch 234-14 (MC 11) dan Ch 231-5, yang telah terbukti rintang terhadap penyakit antraknos.
Keunggulan utama varieti ini adalah ketahanannya terhadap penyakit serta hasil yang tinggi, dengan potensi pengeluaran sekitar 20 hingga 30 metrik tan sehektar dalam tempoh 5 hingga 6 bulan.
Cili MARDI dihasilkan dengan matlamat untuk mengatasi cabaran utama dalam pengeluaran cili di Malaysia, termasuk kebergantungan yang tinggi terhadap benih import, terutama dari negara jiran seperti Thailand, China, dan Vietnam.
Melalui penghasilan benih cili tempatan yang lebih berkualiti dan tahan penyakit, MARDI berharap dapat mengurangkan kos pengeluaran dan meningkatkan keuntungan bagi para petani.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham Ishak dalam ucapannya berkata, varieti baharu cili ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan dalam memajukan sektor pertanian negara.
“Selain daripada memperkenalkan varieti yang lebih tahan terhadap penyakit, kami juga memberi tumpuan kepada latihan dan sokongan kepada petani bagi memastikan mereka dapat menguasai teknik penanaman yang lebih cekap dan mampan,” katanya pada majlis pengisytiharan Cili MARDI di Taman Agro Teknologi MARDI Langkawi, semalam.
Tambahnya, ppengenalan varieti baharu ini diharap dapat meningkatkan produktiviti dan kualiti cili domestik, mengurangkan kebergantungan kepada import, serta memberikan impak positif terhadap ekonomi negara.
“Usaha ini sejajar dengan Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0) yang bertujuan untuk memastikan kestabilan dan keterjaminan bekalan makanan negara,” ujarnya.
-NIAGATIMES