MARDI teruskan langkah transformasi di ladang, tingkat pengeluaran padi negara

Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menyeru agar semua pihak-pihak yang berkepentingan untuk sama-sama melaksanakan langkah transformasi di ladang untuk meningkatkan pengeluaran padi negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, langkah transformasi di ladang perlu dilakukan bagi meningkatkan Tahap Sara Diri (SSR) beras negara kepada 80% menjelang tahun 2030 sekaligus dapat mengurangkan kebergantungan import menerusi peningkatan produktiviti hasil padi.

“Sekarang ini kadar SSR beras negara ialah 60% yang bermakna ketika ini kita import dalam lingkungan 40%, kita perlu berusaha lebih keras lagi untuk mengurangkan import beras.

“Untuk mencapai objektif tersebut, transformasi di ladang perlu dilaksanakan dengan meningkatkan pengeluaran padi, sebab tanah sawah tidak akan berubah keluasannya, malah mungkin semakin mengecil, kecuali kita jika kita buka kawasan-kawasan baharu yang turut mengambil masa untuk dilaksanakan, manakala kawasan lama juga kadang-kadang jadi tak subur,” katanya.

Beliau menambah, antara langkah yang perlu diambil ialah dengan memulihkan kesuburan tanah tanaman padi.

“Tanah yang subur berupaya untuk membekal nutrien dengan kadar yang sesuai di samping meningkatkan keupayaan tanaman menyerap nutrien bagi memperolehi hasil padi yang tinggi.

“Kaedah rawatan tanah yang boleh dipraktikkan oleh petani adalah menabur kapur selain menggunakan baja-baja organik, baja-baja bio-fetiliser, supaya pokok dapat menyerap nutrien dari tanah.

“MARDI juga banyak menyediakan pakej pembajaan yang dibangunkan dengan kerjasama pihak swasta seperti Realstrong N Bio-Booster yang dapat membantu meningkatkan hasil padi pesawah dari 10 kepada 120 peratus semusim, sebagai suplemen kepada baja sedia ada untuk tingkatkan hasil,” tambahnya.

Beliau berkata, para petani juga perlu menggunakan teknologi moden untuk membantu meningkatkan hasil, mengurangkan kos, dan menjadikan sektor pertanian lebih efisien dan moden.

Tambah Zabawi, MARDI telah membangunkan pelbagai varieti padi untuk meningkatkan hasil dan kualiti padi negara.

Ujarnya, MARDI telah memperkenalkan lebih daripada 56 varieti padi sejak penubuhannya, termasuk varieti biasa, pulut, wangi, berwarna, toleran racun rumpai, dan hibrid.

“Selain daripada 56 varieti padi tersebut, dua varieti padi baharu, MR CL3 dan MR CL4 turut diperkenal MARDI baru-baru ini bagi menangani cabaran utama pengeluaran terutama melibatkan serangan padi angin.

“Sementara itu, MARDI turut merancang untuk memperkenalkan satu lagi varieti padi baharu di Pulau Pinang pada akhir bulan ini yang akan disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Haji Mohamad Sabu.

“Ini menjadikan sehingga Ogos tahun ini, 59 varieti padi telah dibangunkan secara keseluruhannya oleh MARDI.

Tambah beliau, MARDI sentiasa melaksanakan pelbagai strategi dan tindakan untuk memperkasa teknologi dan inovasi padi dan beras secara berterusan demi memastikan keterjaminan makanan negara.

-NIAGATIMES