MATRADE, ITFC meterai MoU lonjakkan kerjasama perdagangan

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mahu meningkatkan kerjasama perdagangan antara negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menerusi Kerjasama Kewangan Perdagangan Islam Antarabangsa (ITFC).

Justeru, MATRADE telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan ITFC, anggota kumpulan Bank Pembangunan Islam yang berpangkalan di Jeddah, Arab Saudi, untuk mencapai matlamat tersebut.

Berdasarkan MoU itu, mereka akan bekerjasama dalam program pemudahan penggalakkan perdagangan dan projek khusus, pertukaran maklumat perdagangan dan lawatan delegasi perniagaaan, pengenalpastian peluang projek untuk firma Malaysia serta promosi perdagangan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MATRADE, Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata inisiatif itu merupakan kesambungan daripada usaha memperkukuh hubungan perdagangan dengan negara OIC selepas membentuk perkongsian dengan Bank Pembangunan Islam bagi program yang dikenali sebagai ‘Reserve Linkage’ awal bulan ini.

Beliau berkata perkongsian itu bertujuan mewujudkan peluang perniagaan bagi pengeksport Malaysia dan sebagai pemangkin dalam usaha mengadakan lebih banyak akses pasaran untuk syarikat tempatan ke 57 negara anggota OIC.

“Sebagai anggota OIC, Malaysia berharap dapat menjadi antara negara teratas yang mencatatkan peningkatan perdagangan dengan rakan dagang kami dalam OIC,” katanya kepada pemberita selepas majlis penandatanganan MoU itu di ibu pejabat MATRADE di Kuala Lumpur, semalam. – BERNAMA

MATRADE-ITFC-meterai-MoU-Kredit-foto-MATRADE-HQ.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.