Matrade mahu produk tempatan kekal gah di peringkat global

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menggesa syarikat-syarikat di Malaysia mengambil inspirasi kejayaan syarikat gergasi tempatan untuk membangunkan jenama tanah air kekal relevan dan terus menempa nama di mata dunia melalui inovasi serta semangat keusahawanan yang tinggi.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata, jenama buatan Malaysia telah berevolusi bukan sekadar menjadi pilihan pengguna tempatan malah turut diiktiraf antarabangsa hasil galakan pelaburan asing dan kebolehupayaan firma negara menghasilkan produk sendiri untuk dieksport.

“Kita telah berubah daripada sebuah negara yang bergantung kepada perlombongan dan pertanian kini menjadi negara perindustrian dan negara maju. Malaysia telah tersenarai antara negara-negara perdagangan terkemuka di dunia dengan menduduki tempat ke-25 daripada lebih 200 negara di dunia. Dalam tempoh itu, kita menyaksikan kemunculan jenama tempatan dalam pelbagai segmen produk yang berbeza,” katanya ketika berucap pada Putra Brand Awards 2018 di Hotel Majestic Kuala Lumpur, semalam.

Putra Brand Awards 2018 anjuran Persatuan Ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As) menawarkan 141 anugerah bagi 23 kategori dengan tujuh anugerah istimewa dipertandingkan menyaksikan Petronas mengungguli kategori utama iaitu diiktiraf Jenama Tahunan Putra.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.