Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) menjadi konglomerat pelaburan milik kerajaan pertama di Malaysia yang melaksanakan penggunaan platform kesiapsiagaan dan risikan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) berasaskan kecerdasan buatan (AI), RANTAiX, merentasi keseluruhan anak syarikatnya.
Inisiatif itu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik dengan UN Global Compact Network Malaysia, Brunei & Cambodia (UNGCMBC) bagi memperkukuh tadbir urus kelestarian kumpulan melalui pendekatan yang lebih berstruktur dan berpandukan data.
Melalui platform tersebut, MBI Selangor akan memperoleh gambaran menyeluruh mengenai tahap amalan ESG dalam kalangan syarikat di bawah kumpulannya, termasuk mengenal pasti risiko utama, jurang keupayaan serta bidang yang memerlukan penambahbaikan.
Berbanding penggunaan lazim RANTAiX yang lebih tertumpu kepada penilaian vendor dan rantaian bekalan, pelaksanaan oleh MBI Selangor memperluaskan fungsi platform itu kepada diagnostik ESG di peringkat kumpulan, sekali gus membolehkan pemantauan prestasi dan penyelarasan pelaksanaan ESG dilakukan secara lebih berkesan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, Datuk Saipolyazan M. Yusop berkata ESG kini bukan lagi sekadar keperluan pelaporan, sebaliknya menjadi elemen penting dalam pengurusan risiko dan penciptaan nilai organisasi.
Beliau berkata penggunaan RANTAiX akan membantu memastikan komitmen ESG kumpulan itu dapat diukur dan dilaksanakan secara lebih sistematik di seluruh portfolio syarikatnya.
“Perkongsian ini menandakan fasa baharu dalam perjalanan ESG MBI Selangor apabila usaha kelestarian kami disokong oleh data yang lebih jelas dan tindakan yang lebih tersusun,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Eksekutif UNGCMBC, Angeline Seah berkata penggunaan teknologi AI mampu membantu organisasi menterjemahkan komitmen ESG kepada tindakan yang boleh diukur dan dipantau secara berterusan.
Menurutnya, pendekatan yang diambil MBI Selangor mewujudkan asas yang lebih kukuh untuk mengenal pasti keutamaan pembangunan kapasiti, memantau kemajuan serta memperkukuh tadbir urus ESG di peringkat kumpulan.
Pelaksanaan RANTAiX juga dijangka mewujudkan garis dasar ESG yang seragam merentasi Kumpulan MBI Selangor, sekali gus menyokong pembangunan pelan hala tuju kelestarian yang lebih bersepadu dan mampan.
Inisiatif itu turut dilihat berpotensi menjadi rujukan kepada syarikat berkaitan kerajaan dan konglomerat lain yang ingin memperkukuh pengurusan ESG melalui penggunaan teknologi AI secara lebih menyeluruh.
-NIAGATIMES




















































