MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menandatangani Memorandum Persefahaman (‘MoU’) hari ini bertempat di Menara MBSB Bank, PJ Sentral.
Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib manakala PTPTN pula diwakili oleh Ketua Eksekutif, Ahmad Dasuki Abdul Majid.
Kolaborasi strategik ini akan memfokuskan kepada penyediaan kemudahan transaksi digital untuk para pelanggan membuat simpanan dan bayaran balik pinjaman menerusi e-Wallet MBSB.
Pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) dan peminjam PTPTN akan dapat menikmati kemudahan untuk membuat simpanan atau pembayaran balik pinjaman dengan mudah menerusi e-Wallet MBSB Bank.
Memorandum Persefahaman yang dimeterai oleh MBSB Bank dan PTPTN ini turut bertujuan untuk mewujudkan kerjasama bagi menjalankan kolaborasi strategik dalam pembudayaan simpanan pendidikan, pengurusan kewangan, program-program promosi dan pemerkasaan komuniti.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib berkata, pihaknya ingin meluaskan penggunaan dompet digital kami kepada pendeposit Simpan SSPN dan peminjam PTPTN dengan menyediakan perkhidmatan simpanan dan pembayaran balik pinjaman PTPTN melalui e-Wallet MBSB Bank.
“Bagi memudahkan lagi mereka, pendeposit Simpan SSPN boleh membuat simpanan ke dalam akaun Simpan SSPN melalui e-Wallet MBSB Bank tanpa perlu membuka akaun simpanan dengan MBSB Bank.
“e-Wallet MBSB Bank merupakan dompet digital aplikasi mudah alih patuh syariah yang pertama di Malaysia yang ditawarkan oleh MBSB Bank,” katanya dalam satu kenyataan.
-NIAGATIMES