Komitmen yang ditonjolkan Dewan Perdagangan Malaysia-China (MCCC) dalam memberikan promosi, kerjasama dan pembangunan perniagaan terhadap sektor komersial antara Malaysia dan China wajar dimanfaatkan kedua-dua pihak, kata Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Dr. Mohd. Shahreen Zainooreen Madros.
Berucap mewakili Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Darell Leiking, beliau berkata, kementeriannya menghargai segala bentuk sumbangan dan kerjasama pertubuhan itu dalam memastikan rakyat kedua-dua negara dapat menikmati manfaat hasil pertumbuhan kemakmuran bersama.
“Kita sangat kagum dengan usaha MCCC yang menyediakan khidmat membawa usahawan-usahawan daripada golongan bukan penutur bahasa Mandarin seperti Melayu dan India meneroka peluang perniagaan di China.
“Manfaat ini secara tidak langsung membolehkan MITI mendidik usahawan muda sektor baharu termasuklah industri 4.0 bagi mencerahkan peluang mereka untuk menembusi pasaran China kelak,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun MCCC ke-28 di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur, hari ini.