MDEC mahu usahawan pergiat lagi aktiviti eksport e-dagang

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyasarkan pendapatan dan jualan tambahan bagi aktiviti eksport usahawan melalui e-dagang melonjak pada tahun hadapan sekaligus membuktikan negara telah bersedia menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat (R.I 4.0).

Ketua Pegawai Operasi MDEC, Datuk Ng Wan Peng berkata, pihaknya kini meningkatkan kerjasama dengan kementerian serta agensi berkaitan seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Bank Negara Malaysia serta Dewan Perdagangan Digital Malaysia untuk merealisasikan sasaran tersebut.

“Perdagangan secara platform e-dagang mempunyai potensi sebagai penyumbang terbesar ekonomi negara sewaktu era R.I 4.0 nanti kerana sektor ini telah menunjukkan peningkatan memberangsangkan di peringkat global pada tahun lepas. Peluang ini sewajarnya dimanfaatkan usahawan kerana saya dapati produk-produk di negara kita juga sebenarnya berkualiti dunia.

“Oleh itu, kita mahu pendedahan diberikan kepada kumpulan usahawan terlibat untuk lebih menguasai cabang e-dagang seperti teknologi ‘blockchain’, keselamatan siber, dompet digital dan FinTech agar aktiviti eksport nanti tepat berada di landasan yang betul,” katanya ketika berucap pada Forum Ekonomi Digital 4.0 di Plaza Vads Taman Tun Dr. Ismail, hari ini.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.