Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) menerajui penyertaan negara di pameran teknologi bertaraf dunia, Expand North Star (ENS) dan GITEX Dubai 2025, dalam usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab inovasi dan kemajuan teknologi di peringkat global.
Platform berprestij itu membuka ruang luas kepada Malaysia untuk mempamerkan penyelesaian digital terkini, berinteraksi dengan pemain industri serantau serta mengetengahkan keupayaan syarikat tempatan dalam bidang seperti teknologi kewangan (fintech), kecerdasan buatan (AI) dan perkhidmatan digital.
Hubungan erat antara Malaysia dan Timur Tengah, khususnya Emiriah Arab Bersatu (UAE), turut mencipta peluang strategik bagi syarikat tempatan menembusi salah satu ekonomi digital paling pesat berkembang di rantau berkenaan. MDEC memainkan peranan utama memudah cara jalinan kerjasama tersebut, membolehkan syarikat Malaysia meneroka pasaran baharu, menguji penyelesaian inovatif serta memperkukuh kapasiti operasi dan strategik mereka.
Sebanyak 15 syarikat teknologi Malaysia menyertai ENS dan GITEX Dubai tahun ini, dengan lapan daripadanya menjadi sebahagian daripada delegasi rasmi negara. Penyertaan itu menarik minat besar daripada pemain industri serantau, menghasilkan potensi peluang eksport digital melebihi RM500 juta dan pelaburan digital bernilai kira-kira RM700 juta ke Malaysia.
Hasil ini membuktikan keberkesanan pendekatan bersepadu negara yang menggabungkan sokongan kerajaan, kepakaran industri dan semangat keusahawanan bagi merangsang pertumbuhan mampan sektor teknologi. Penglibatan aktif syarikat pemula (start-up), syarikat berkembang (scale-up) serta firma mapan menggambarkan ekosistem teknologi Malaysia yang pelbagai dan dinamik.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil, berkata penyertaan di ENS dan GITEX Dubai mencerminkan komitmen berterusan Malaysia ke arah memperkukuh ekonomi digital negara serta mengukuhkan peranan sebagai Hab Digital ASEAN.
“Penyertaan MDEC di ENS dan GITEX 2025 memperlihatkan dedikasi kami memajukan ekonomi digital negara. Setakat Ogos 2025, syarikat di bawah inisiatif Malaysia Digital (MD) telah merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM44.6 bilion, mencerminkan keyakinan tinggi pelabur dan rakan antarabangsa terhadap keupayaan Malaysia,” katanya.
Beliau menegaskan, MDEC akan terus memacu pembangunan ekosistem digital yang mampan, memupuk bakat tempatan dan memperkasakan perniagaan agar Malaysia kekal sebagai peneraju utama landskap teknologi serantau.
-NIAGATIMES






















































