Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyifatkan Belanjawan MADANI 2026 sebagai pemangkin strategik berasaskan pendekatan menyeluruh negara yang akan mempercepatkan perjalanan Malaysia ke arah menjadi Negara Kecerdasan Buatan (AI) menjelang 2030.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil berkata, belanjawan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan disokong oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo itu merupakan pelan tindakan yang berani dan praktikal dalam memperkukuh asas ekonomi digital yang selamat, inklusif dan dipacu inovasi.
“Belanjawan ini mengiktiraf bahawa pembinaan masa depan digital dan AI negara memerlukan usaha kolektif seluruh negara. Ia menyelaras pelaburan dalam AI, teknologi maju dan pembangunan bakat mengikut keperluan industri serta rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anuar berkata, MDEC komited untuk menterjemahkan visi nasional tersebut kepada hasil yang nyata melalui pembinaan ekosistem, kerjasama strategik dan laluan pembangunan bakat yang akan mendorong Malaysia mencapai matlamat AI Nation 2030.
Antara peruntukan utama yang disifatkan sejajar dengan aspirasi tersebut termasuk RM53 juta bagi Geran Pemecut Digital Malaysia (MDAG), RM18 juta untuk Pejabat AI Kebangsaan, RM2 bilion kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk membangunkan Awan AI Berdaulat (Sovereign AI Cloud), RM30 juta kepada CyberSecurity Malaysia bagi memperkasa perkhidmatan keselamatan kriptografi serta RM7 juta kepada MIMOS untuk menerajui inovasi teknologi blockchain dan pengesanan kandungan ‘deepfake’ (pemalsuan wajah).
Menurut Anuar, peruntukan kepada MDAG mencerminkan sokongan padu terhadap usaha Kementerian Digital dalam mengintegrasikan Teknologi Generasi Seterusnya (NextGen Tech) ke dalam agenda digital negara, sekali gus menyemarakkan budaya inovasi dan kemajuan teknologi.
“Langkah ini penting bagi mempercepatkan penerimaan serta pembangunan teknologi baharu seperti blockchain, AI dan pengkomputeran kuantum yang sedang membentuk gelombang transformasi digital seterusnya.
“Pembiayaan strategik ini juga akan memberi lebih kuasa kepada syarikat Malaysia Digital (MD), khususnya yang berada dalam fasa pengkomersialan dan pengembangan, untuk berkembang sebagai pemain utama di peringkat serantau dan global dalam ekonomi digital,” katanya.
-NIAGATIMES






















































