MDV pilih kumpulan pertama terima pembiayaan TSFRF berjumlah RM13.75 juta

Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) telah mengumumkan senarai sepuluh syarikat pemula teknologi untuk kumpulan pertama yang akan menerima pembiayaan terkumpul berjumlah RM13.75 juta di bawah program Kemudahan Bantuan Pembiayaan Pemula Niaga Teknologi (TSFRF) kendalian MDV.

Pengerusi MDV, Khairul Azwan Harun dalam kenyataannya menzahirkan rasa gembira di atas sambutan yang menggalakkan daripada syarikat-syarikat pemula teknologi yang berminat untuk meneroka peluang pembiayaan di bawah program TSFRF ini.

“MDV telah diberi kepercayaan oleh kerajaan bagi membantu syarikat-syarikat pemula teknologi yang terjejas akibat daripada penularan wabak Covid-19 melalui program TSFRF ini.

“Oleh itu, MDV akan memastikan yang kami akan dapat memenuhi mandat ini dengan terus memberikan bantuan aliran tunai segera, berpatutan dan bersasar kepada syarikat-syarikat pemula teknologi yang terkesan oleh keadaan ekonomi semasa dan sedang menghadapi kekangan kewangan, dalam memastikan pemerkasaan, pemulihan serta perkembangan mereka yang berterusan dalam tempoh yang mencabar ini,” katanya, baru-baru ini.

Syarikat-syarikat yang terlibat termasuklah Superceed (M) Sdn Bhd, Duchess Mercantiles Sdn Bhd, Naluri Hidup Sdn Bhd, Enlinea Sdn Bhd, Mobi Asia Sdn Bhd, Sbunny Group Sdn Bhd, Voltron Malaysia Sdn Bhd, Soft Solvers Sdn Bhd, Cidekick Sdn Bhd dan Pixelbyte Sdn Bhd yang mana masing-masing akan menerima jumlah pembiayaan di antara RM200,000 sehingga RM2.50 juta.

Syarikat-syarikat tersebut adalah antara enam puluh enam yarikat pemula teknologi yang telah dinilai dan diperakukan oleh jawatankuasa pra saringan bagi program ini daripada sejumlah 142 permohonan yang diterima sepanjang fasiliti ini diperkenalkan.

-NIAGATIMES

MDV.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.