Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) kini menyediakan dana tambahan berjumlah RM50 juta bagi meneruskan kesinambungan program Pembiayaan Mudah Tunai untuk Pemula Niaga Teknologi (LIFTS) dalam membantu usahawan yang menjalankan perniagaan bersandarkan teknologi.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nizam Mohamed Nadzri berkata, program LIFTS yang kini sedang dilaksanakan dalam tranche kedua bermula Mei 2022 bertujuan membantu aliran tunai pemula niaga teknologi ketika Malaysia berada dalam fasa peralihan ke endemik.
“MDV sedia membantu pemula niaga teknologi yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dengan menyalurkan aliran tunai secara segera dan bersasar.
“Pertambahan sebanyak RM50 juta ini adalah bagi membantu pertumbuhan syarikat dalam fasa pemulihan di mana dana yang diperuntukkan ini boleh digunakan untuk pengembangan operasi mereka,” katanya kepada pemberita pada Sesi Taklimat MDV bersama-sama media di Hilton Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Jelas Nizam, pihaknya menjangka program LIFTS tanche kedua ini bakal memanfaatkan kira-kira 70 syarikat.
Untuk rekod, MDV telah meluluskan peruntukan berjumlah lebih RM75 juta bagi 65 syarikat dengan dana RM41.52 juta disalurkan kepada 39 syarikat pelbagai sektor teknologi sejak program LIFTS diperkenalkan pada Oktober 2021 yang lalu.
Pada masa yang sama, anak syarikat di bawah Kementerian Kewangan (Diperbadankan) itu juga memaklumkan bahawa mereka berada di landasan baharu dengan giat merangka strategi berbeza iaitu tidak hanya fokus kepada pengurusan dana fintech (teknologi kewangan) semata-mata, malah juga medtech (teknologi kesihatan) dan agrotech (teknologi pertanian).
-NIAGATIMES