MDV urus insentif RM100 juta bantu syarikat pemula niaga teknologi

0
30

Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) bersedia membantu syarikat-syarikat pemula niaga teknologi melalui inisiatif kerajaan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan melaksanakan program pembiayaan Kemudahan Bantuan Pembiayaan Pemula Niaga Teknologi (TSFRF) bernilai RM100 juta.

Dalam satu kenyataan, MOSTI berkata program tersebut akan dilaksanakan oleh MDV bermula 15 Mei 2020 dengan penyediaan bantuan kewangan bagi menampung aliran tunai seterusnya mengekalkan kelangsungan operasi perniagaan syarikat-syarikat terpilih yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

“TSFRF ini adalah terbuka kepada semua syarikat pemula niaga teknologi milik rakyat tempatan dan majoriti pendapatan dijana dalam negara.

“Pakej rangsangan ini menawarkan tempoh pembiayaan sehingga lima tahun tertakluk kepada semakan tahunan serta pengecualian bayaran fi guaman selain tiada fi dan kos tambahan yang harus ditanggung oleh pemohon. Proses ini akan dibuat secara cepat dan mudah,” katanya, baru-baru ini.

Tambah MOSTI, dana berkenaan akan diselaraskan bersama-sama peruntukan yang telah disalurkan kepada agensi-agensi pembiayaan teknologi di bawah MOSTI seperti MDV, Cradle, Malaysia Venture Capital Management (Mavcap), Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) serta Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) sebelum ini dan menjadikan jumlah terkini sebanyak RM315 juta.

“Peruntukan ini disalurkan kepada syarikat-syarikat start-up dalam bentuk pinjaman, geran, inisiatif pembangunan kapasiti, sokongan operasi, akses kepada pasaran dan lain-lain lagi,” jelasnya.

KJ-Kredit-foto-MOSTI.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.