Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) tidak berhasrat menukar definisi had umur belia kepada 30 tahun bagi membolehkan golongan itu mengikuti program pembangunan keusahawanan anjurannya dan agensi berkaitan.
Sambil menegaskan dasar berkaitan itu dikekalkan, Menterinya Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata perubahan definisi had umur itu juga tidak akan menjejaskan perancangan program pembangunan usahawan belia yang telah pun dirangka.
Sehubungan itu, beliau meminta kalangan usahawan terbabit agar tidak bimbang untuk menyertai dalam program pembangunan keusahawanan anjuran kementerian dan agensi terbabit.
“Kalau kita lihat secara menyeluruh menyatakan belia berumur 30 tahun atau 35 tahun, ini akan hanya menidakkan peluang mereka untuk mendapat latihan (keusahawanan berkaitan).
“Apa yang kita fahami adalah had umur 30 tahun itu adalah hak mereka untuk memilih dan bukannya (membabitkan soal) penglibatan mereka dalam sebarang latihan keusahawanan daripada perspektif kementerian ini, ” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Program Usahawan Muda SME Bank 90-Days Biz Challenge 2019 di Sunway Putra Hotel Kuala Lumpur, hari ini. – BERNAMA