MED perkenal trak jualan barangan runcit

Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) memperkenalkan konsep jualan barangan runcit bergerak melalui trak yang dinamakan sebagai TEKUN Mart Mobile bagi mempelbagaikan platform keusahawanan di samping meringankan beban perbelanjaan rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, pengguna boleh menikmati potongan harga runcit yang lebih murah dari 10 hingga 15 peratus serta kumpulan usahawan terlibat turut mendapat manfaat apabila barangan keluaran mereka yang bernaung di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dapat dipasarkan secara lebih meluas.

“TEKUN Mart Mobile merupakan platform yang membolehkan orang ramai mendapatkan barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, ayam, daging, ikan, dan barangan sejuk beku dengan lebih mudah.

“Ia juga akan menjadi agen pembekal, pengedar dan pemasaran 40 peratus produk-produk usahawan TEKUN dan selebihnya merupakan produk-produk keperluan yang lain di pasaran.

“Perniagaan menggunakan TEKUN Mart Mobile ini akan mengurangkan kos bagi menjalankan sesebuah perniagaan kerana tiada sewa premis yang dikenakan serta lokasi perniagaan yang boleh berubah dan ditempatkan di lokasi yang berpotensi untuk jualan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan TEKUN Mart Mobile di Perkarangan MED Putrajaya, semalam.

TEKUN-Mart-Mobile.jpeg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.