Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) komited untuk terus membangunkan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera melalui pelan strategi baharu Program Pembangunan Vendor (PPV) yang melibatkan usahawan-usahawan vendor dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan.

Menterinya, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, peruntukan PPV sebanyak RM61 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 bagi Geran Penyelidikan dan Pengkormesialan Vendor serta Program Pembangunan Kapasiti Vendor bukan sahaja mampu menjadi tunjang utama dalam melonjakkan ekonomi Bumiputera malah melahirkan usahawan yang lebih berdaya saing, berdaya tahan dan bertaraf global.

“MED kini mensasarkan penyertaan lebih banyak syarikat multinasional (MNC), syarikat tersenarai (PLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai syarikat anchor PPV untuk merancakkan agenda PPV. Kita turut mensasarkan lebih banyak penglibatan syarikat-syarikat daripada Sabah dan Sarawak sebagai syarikat anchor atau syarikat vendor.

“Selain itu, MED juga sedang giat merangka strategi-strategi baharu PPV dalam mendepani landskap ekonomi yang lebih mencabar menjelang Rancangan Malaysia Ke-12.

“Antara strategi yang sedang dirangka adalah berhubung perluasan pasaran perniagaan, pembiayaan yang kompetitif, pewujudan vendor berbilang tingkat dan penerokaan sektor-sektor yang berpotensi dan berteknologi tinggi,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Majlis Perundingan Program Pembangunan Vendor di Menara Kembar Bank Rakyat Kuala Lumpur, hari ini.

Redzuan-ketika-mempengerusikan-Mesyuarat-Pertama-Majlis-Perundingan-Program-Pembangunan-Vendor-Foto-NiagaTimes.jpg