Program dan majlis penganugerahan dalam bidang keusahawanan wajar diperbanyakkan bagi menyuntik semangat serta menggalakkan lebih banyak penglibatan usahawan baru khususnya golongan muda untuk menceburi sektor itu.
Demikian saranan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof yang turut optimis usaha itu mampu mengetengahkan lebih ramai usahawan muda yang berpotensi tinggi.
Beliau berkata majlis penganugerahan seperti Leadership Excellence Awards 2019 wajar dijadikan contoh dalam usaha membantu kementerian memperkasakan bidang keusahawanan selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030.
“Melihat kepada pemenang-pemenang, ramai anak muda berjaya dalam bidang keusahawanan dan menjadi penanda positif… bidang ini ada pelapis yang berpotensi tinggi.
“Kementerian amat menyokong usaha seperti ini, ia mampu memperkasakan usahawan dan ahli perniagaan di samping meletakkan Malaysia pada landasan betul ke arah sebuah negara keusahawanan,” katanya kepada pemberita selepas majlis anugerah itu di Hotel One World Petaling Jaya, kelmarin. – BERNAMA